Monday, August 4, 2014

Izzah seru Najib putuskan hubungan perdagangan dengan Israel

izzah300
PETALING JAYA: Tindakan Israel yang memanggil 16,000 orang askar simpanan selepas rejim Zionis itu meminta Amerika Syarikat membekalkan senjata tambahan selesai Gaza dibedil secara berterusan dan juga laporan yang mengatakan bahawa Amerika Syarikat telah bersetuju untuk membekalkan senjata tambahan kepada Israel itu sangat melampau.

Menurut Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, perkembangan tersebut amat mengecewakan dan membangkitkan kemarahan dunia kerana dalam serangan tersebut lebih 1,400 warga Gaza menjadi mangsa dan dilaporkan lebih 85 peratus merupakan rakyat yang tidak berdosa termasuk kanak-kanak.

“Tidakkah sepatutnya keamanan dan bantuan kemanusiaan kepada mangsa krisis ini  menjadi keutamaan bagi Amerika Syarikat?,” soalnya.
Selain itu, Pesuruhjaya Tinggi Hak-hak Kemanusiaan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay menyeru agar kuasa-kuasa dunia menggesa Israel bertanggungjawab ke atas jenayah perang yang dilakukan kerana ia melibatkan perlanggaran undang-undang kemanusian di peringkat antarabangsa, termasuklah kontroversi penggunaan senjata yang diharamkan terhadap rakyat biasa.
Jelas Izzah lagi, perumahan awam, ambulan, premis sekolah UNRWA dan infrastruktur-infrastruktur utama Gaza termasuk satu-satunya stesen janakuasa juga tidak selamat daripada serangan Israel ini.
“Sekiranya PBB telah membuat kenyataan bahawa kedua-dua belah pihak melakukan jenayah, tidakkah negara yang membekalkan senjata juga sepatutnya dianggap bersalah malah bersubahat dengan jenayah tersebut.
“Apakah yang membezakan perbuatan Amerika Syarikat dengan perbuatan Russia yang membekalkan senjata kepada puak pemisah Ukraine (yang didakwa menembak jatuh MH17) yang kini mendapat bantahan keras daripada AS? Jelas bahawa AS punyai penanda aras moral yang berbeza dalam kedua-dua isu ini,” katanya dalam posting blognya yang terbaru di www.nurulizzah.com
Jelas Naib Presiden Keadilan itu lagi, isu rampasan dan penjajahan bumi Palestin ini telah berlarutan sekian lama dan tindakan tegas harus diambil bagi memastikan keselamatan serta keamanan rantau tersebut.
Ujarnya, Amerika Syarikat langsung tidak mempunyai minat untuk memastikan keselamatan serta hak-hak rakyat Palestin terjamin. Oleh yang demikian, menjadi tanggungjawab kerajaan-kerajaan dunia yang lain untuk bersatu menamatkan krisis kemanusiaan ini.
“Dengan persetujuan genjatan senjata oleh Hamas dan Israel yang akan berlangsung selama 72 jam, Malaysia melalui OIC atau NAM perlu segera mengambil peluang untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada wilayah tersebut melalui udara dan laut.
“Kerajaan Malaysia boleh mengerah pesawat TUDM untuk menyampaikan bantuan sementara peluang ini masih terbuka dan bekerjasama terus dengan Aqsa Syarif, Viva Palestina Malaysia dan MAPIM dalam penyaluran bantuan,” katanya.
Dalam masa yang sama, Izzah turut merayu agar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak bertindak memutuskan hubungan perdagangan dengan Israel yang pada tahun 2010 sudah pun bernilai RM2.87 billion dan juga menggesa masyarakat dunia agar membuat tindakan yang sama bagi keamanan sedunia.
“Usaha yang giat perlu dilakukan untuk memecahkan tembok sempadan yang memisahkan Semenanjung Gaza dengan wilayah Palestin yang lain yang kini dianggap sebagai penjara terbuka terbesar di dunia. Sikap mendiamkan diri oleh negara-negara Islam yang lain seperti Mesir dan Arab Saudi tidak boleh kita ikuti, apalagi di biarkan berlanjutan.
“Masa akan berlalu dengan kemaraan kezaliman Israel yang berterusan. Cukuplah, kita punya tanggungjawab moral untuk memastikan kegilaan serta kezaliman ini dihentikan dalam ruang lingkup kuasa yang ada pada kita,” katanya.

No comments: