Monday, August 4, 2014

PAS kekal dalam Pakatan


PAS akan kekal dalam Pakatan Rakyat dan Pakatan Rakyat pun tidak mahu mengeluarkan PAS daripada Pakatan Rakyat.
      
Kebanyakan pemimpin dalam Pakatan menolak ia akan berpecah. Baik Ustaz Hadi dalam kenyataan penyokong Khalid Ibrahim, dan Ustaz Nik Aziz dalam sokongan terbukanya pada pendirian Ustaz Hadi menyebut perlunya kekuatan yang ada pada Pakatan dipertahankan. Dan Anwar Ibrahim sendiri tidak melihat perbezaan sikap tentang MB Selangor boleh memecahkan Pakatan Rakyat.
    
Hanya Lim Guan Eng saja kata ia akan pecah. Tetapi saya tidak pasti atas pandangan Lim Kit Siang. Saya tidak fikir Guan Eng akan meneruskan andaiannya.
    
Maka sekarang tidak berbangkit lagi pendirian Ustaz Hadi boleh memecahkan Pakatan.
    
Tidak berbangkit lagi PAS berada di persimpangan jalan mahu bersendirian atau keluar daripada Pakatan.
    
Ustaz Hadi hanya tidak setuju Khalid digantikan atas alasan yang tidak kuat. Ustaz Hadi tahu akan reaksi banyak atas kenyataannya. Ustaz Hadi tidak kata ia sikap muktamad pertinya. Beliau berharap rakan-rakannya dalam PAS bersetuju dengannya dan pandangan Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad.
     
Dengan pendirian dua tokoh utama ulama PAS ia disokong oleh akar umbi PAS.
    
Pada saya, keduanya telah membuat sikap yang betul. Krisis MB Selangor itu boleh menghakis sokongan umum kepada Pakatan khususnya di Selangor. Jika hakisan itu berlaku, ia bukan sekadar Adun PAS yang ada di Selangor tidak dapat dipertahankan, Adun dan MP PKR pun tidak dapat dipertahankan.
    
Sama ada PAS terkeluar daripada Pakatan atau sokongan pengundi terhakis, bukan saja ia mengancam beberapa MP PAS seperti Parit Buntar, Kota Raja, Sepang, Pokok Sena dan lain-lain, MP PKR juga akan terjejas seperti Kuala Kedah, Gombak, Pandan dan lain-lain.
     
Yang ada di persimpangan jalan atas krisis MB itu bukan sekadar PAS dan Pakatan Rakyat tetapi PKR sendiri. 
      
Adakah PKR hendak meneruskan penggantian atas Khalid atau mengekalkannya sehingga penggalnya tamat?
     
Adakah PAS campur tangan atas urusan rumah tangga PKR? Tidak mudah untuk mengatakan PAS campur tangan dalam urusan parti lain. PAS tidak kisah apabila PKR menggantikan Khalid sebagai ketua PKR Selangor atau pemilihan parti itu tidak menyokong Khalid.
    
Tetapi Menteri Besar adalah urusan bersama. PAS mesti tahu dan dirundingi apabila MB hendak digantikan kerana di bawah MB itu ada exco PAS. Setakat ini keputusan itu adalah sebelah pihak. Ia dimaklumkan saja PAS dan DAP.
      
Jika perlantikan MB kedah dan Kelantan PKR tidak campur tangan ia bukan alasan yang cukup. Kiranya PKR merasakan ada yang tidak kena dalam pelantikan dan perjalanan MB di bawah PAS, maka adalah kewajaran semua pihak memberikan pandangan. Kemudian berbincanglah.
      
Apabila PKR dan DAP menolak percubaan PAS hendak membawa usul persendirian hudud ke Parlimen, maka PAS tetap mengekalkan sikapnya untuk terus dengan Pakatan dan tidak pernah mencerca penolakan itu.
     
Setakat ini PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno dalam menangani krisis di Selangor itu dan PAS dipercayai tidak mahu ada pilihan raya baru di Selangor. Yang Ustaz Hadi mahu krisis itu ditamatkan dengan mengekalkan apa yang ada. Kebijaksanaan Anwar amat dikehendaki bagi mengekalkan pengaruh Pakatan. Kenyataan sikap Ustaz Hadi itu tidak memecahkan Pakatan bagai satu azimat. -HARAKAHDAILY 4/8/2014

No comments: