Wednesday, August 6, 2014

Keluar fatwa boikot produk Zionis


KOTA BHARU: Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengeluarkan fatwa bagi mewajibkan umat Islam memulau semua barangan dan produk keluaran syarikat Yahudi Zionis.

Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, kaedah pemulauan atau boikot merupakan cara berkesan yang pernah dilakukan Rasulullah SAW ketika baginda mentadbir Madinah.

“Baginda SAW mengarahkan umat Islam membina pasar raya sendiri bagi meninggalkan pasar raya Qainuqa’ yang dimonopoli kaum Yahudi pada masa itu.

“Oleh itu tekanan yang sama perlu dilakukan seluruh umat Islam, bahkan menjadi kewajipan ulama, mufti mengeluarkan kenyataan rasmi memulau barangan Yahudi Zionis,” katanya di sini.

Beliau yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan berkata, kerajaan Malaysia perlu memutuskan segera hubungan dagang dengan Yahudi Israel walau dalam apa jua bentuk sekalipun.

Kata beliau hentikan segera penjualan minyak sawit kepada Israel.

“Kami menuntut kerajaan Malaysia jangan hanya sekadar menyalurkan sumbangan kepada rakyat Gaza, sedangkan dalam masa yang sama melantik APCO sebagai penasihat kerajaan,” katanya.

Kelmarin Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengakui ada syarikat multinasional mempunyai hubungan dengan Israel.

Pada 2013 Biro Statistik Pusat Israel menyebut Malaysia merupakan destinasi ke-11 eksport terbesar negara Zionis tersebut yang bernilai RM4.8 bilion.

“Kalau Britain RedRat boleh umumkan secara rasmi penamatan kontrak dengan Israel kenapa tidak kita di Malaysia,” ujar Mohd Asri.

Mengikut catatan sejarah bumi Palestin diwakafkan Saidina Umar Al-Khattab kepada penduduk Islam Palestin.

Malah fatwa ulama-ulama antaranya fatwa Kesatuan Ulama Dunia pada 1935, fatwa Ulama Iraq (1937) dan fatwa Ulama Al-Azhar (1947) menjelaskan keseluruhan tanah air Palestin hanyalah untuk umat Islam.

Fatwa itu dipertegaskan lagi dengan tandatangan 63 ulama seluruh dunia

pada 1988 bahawa Palestin adalah bumi umat Islam.

Ulama terbabit antaranya Dr Najmudin Arbakan, Syeikh Mustafa Mashur, Dr Yusof Al-Qaradhawi, Qadhi Husain Ahmad, Rashid Ghanushi, Dr Fathi Yakan, Syeikh Mohammad Al-Ghazali dan Dr Wahbah Al-Zuhaili.

Mereka sepakat memberitahu “Jihad (dengan senjata) adalah cara kita (umat Islam) berdepan dengan Yahudi untuk membebaskan Palestin.

“Haram sama sekali memberi hak walau satu inci daripada tanah Palestin kepada Yahudi. Begitu juga haram bagi orang perseorangan atau mana-mana institusi atau kerajaan yang membenarkan Yahudi menjajah bumi Palestin”.

Negara haram Israel wujud pada 2 April 1947 selepas wilayah Palestin dibahagi kepada negara Arab dan negara Yahudi, manakala Baitulmaqdis diletakkan di bawah tanggungjawab antarabangsa. -HARAKAHDAILY 6/8/2014

No comments: