Friday, June 13, 2014

DAP konsisten tolak hudud

  • Hudud
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU - Walaupun penerangan jelas bahawa hukum hudud hanya dilaksanakan terhadap orang Islam, ia masih dipolitikkan pemimpin DAP Selangor yang berikrar tidak akan berkompromi dan akan menentang mana-mana usaha memperkenalkan hukum tersebut.

Ketua Pemuda Umno Terengganu, Mohd Johari Abu Bakar berkata, isu hudud bukan perkara baharu dan ia hanya dipolitikkan untuk meraih sokongan.
“Penerangan yang jelas mengenainya sudah diberikan dan semua sudah sedia maklum ia untuk orang Islam, bukan untuk bukan Islam. Jadi, sudah tiba masanya rakyat Selangor bangkit dan menyokong usaha perlaksanaan hukum Islam itu.


“Dari sudut politik, DAP tidak akan berganjak daripada pendirian mereka yang menentang perlaksanaan hudud. Pas pula dengan pendirian perjuangan mereka untuk laksana hudud, walaupun masih bersekongkol dengan parti komponennya yang sendiri terang-terangan menolak hudud,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo yang berikrar tidak akan membiarkan perlaksanaan hudud, bagi menjawab usul Adun Sungai Air Tawar (Umno), Kamarol Zaki Abdul Malik mengenai kebarangkalian melaksanakan undang-undang Islam itu dalam sidang Dun negeri berkenaan, kelmarin.

Mohd Johari berkata, Umno sebaliknya bersedia untuk bekerjasama dengan Pas bagi membawa usul hudud dalam Parlimen dan hasrat itu sudah diketahui Pas sendiri.

“Kita wajib sokong hukum ALLAH dan menentang pendirian DAP yang jelas menolak hudud. Terpulang pada Pas untuk menilai,” katanya.

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno negeri, Dr Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, usul itu menggambarkan ketelusan Umno dalam menjayakan hudud dan dalam masa sama, boleh melihat pendirian Pas sama ada ikhlas memperjuangkan hukum berkenaan atau sebaliknya.

“Sekiranya usul daripada Adun Umno di Selangor itu tidak disokong Pas, ia jelas menggambarkan mereka menggunakan Islam untuk kepentingan parti.

“Jadi, rakyat perlu sedar agar tidak diperbodohkan mereka yang menggunakan Islam untuk survival politik hingga sanggup bersekongkol dengan parti komponen yang terang-terangan menolak agama Islam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah berkata, hudud boleh dilaksanakan sekalipun DAP konsisten menolak hukum berkenaan.

“Hudud akan diutamakan di Kelantan dan Terengganu yang tidak diwakili DAP, malah ia dapat dilaksanakan sekiranya mendapat sokongan wakil rakyat Melayu Islam,” katanya.