Thursday, June 12, 2014

Bela Hindu: KJ Wajar Sertai Pakatan

Kenyataan Menteri Belia & Sukan, Khairy Jamaludin membela kedua-dua wanita Hindu yang kehilangan hak penjagaan anak kepada bekas suami masing-masing yang telah memeluk Islam, walaupun diakui berat, tapi memang patut dipuji.

Bukan calang-calang Menteri yang berani mengeluarkan kenyataan menyanggah Ketua Polis Negara dalam isu ini kerana boleh diibaratkan seperti meludah ke muka bossnya sendiri, Najib Tun Razak.

Tan Sri Khalid Abu Bakar memang diketahui umum menjadi orang kepercayaan Najib untuk mengetuai pasukan polis dan sekarang Khairy sedang memulakan sengketa dengannya apabila memperlekehkan cadangan supaya anak-anak berkenaan dihantar ke pusat penjagaan.


Semalam, beberapa NGO India yang pro LTTE turut mengambil kesempatan mempertikaikan kenyataan Khalid, malah beberapa dari mereka lebih berani lagi bila menyifatkan Khalid sebagai badut kerajaan kerana kegagalan polis bertindak dalam isu ini.

Walaupun begitu, satu atau dua kenyataan seperti ini belum cukup menyakinkan penyokong Pakatan Rakyat , terhadap Khairy.  Dia perlu menyertai Pakatan Rakyat terlebih dahulu, barulah kelibat Khairy akan diterima rakyat tanpa banyak soal balas.

Lagipun, Khairy tidak boleh selamanya memainkan peranan bermuka-muka dengan mengekalkan jawatannya dalam kabinet.  Sejarah telah membuktikan semua Menteri/Timbalan Menteri yang cuba melakukan itu akan gagal dan akhirnya terpaksa meletakkan jawatan atau dipecat.

Antaranya ialah bekas Menteri seperti Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Saifuddin Abdullah.

Khairy pun akan menerima nasib yang serupa kalau dia terus memainkan peranan seperti sekarang dan kalau tanggapan aku ini benar, dalam rombakan kabinet yang akan datang, Khairy akan menjadi antara menteri yang digugurkan atau dipindah ke Kementerian yang kurang peranan.

Untuk selamat, lebih baik Khairy menyertai Pakatan Rakyat dengan cepat.  Kita ada banyak jawatan secara lantikan yang boleh diberikan kepada Khairy.