Monday, June 23, 2014

Kalimah Allah: PR Akan Lantik Lebih Ramai Hakim Kristian


Kehampaan penganut Kristian lanjutan dari keputusan Mahkamah Persekutuan pagi tadi yang memutuskan bahawa The Herald tidak boleh menggunakan perkataan Allah dalam keluarannya, mendapat simpati Pakatan Rakyat.

Hakikatnya, Kristian kalah bukan kerana isu itu sendiri tapi kerana jumlah hakim beragama Islam melebihi jumlah hakim tidak beragama Islam di kalangan 7 orang hakim yang bersidang menentukan perkara tersebut.

Dalam barisan hakim 7 orang itu, 2 beragama Kristian manakala bakinya beragama Islam.  Nasib baik seorang daripada 5 hakim beragama Islam itu menyokong rayuan yang dibuat oleh pihak Gereja, jika tidak kekalahan ini pasti lebih perit.

Tapi kerana keputusan telah dibuat, tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan.


Bagaimanapun, untuk mengelakkan masalah sama berlaku di kemudian hari, Pakatan Rakyat berjanji, setelah Putrajaya berjaya kita rampas, lebih ramai hakim beragama Kristian akan dilantik termasuk di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Pakatan Rakyat akan memastikan perkara itu menjadi kenyataan, jika halangannya undang-undang dan perlembagaan, Pakatan Rakyat akan meminda mana-mana fasal bersesuaian supaya janji di atas dapat dilaksanakan.

Dengan cara itu sajalah, keadilan untuk masyarakat Kristian di negara ini dapat dipelihara dengan baik.  Mungkin sudah tidak ada apa yang boleh dilakukan dalam kes The Herald, tapi Gereja boleh menerbitkan lebih banyak penerbitan bernama lain dengan menggunakan perkataan Allah di dalamnya.

Ini boleh dilakukan kerana keputusan ini hanya terhad kepada majalah The Herald walaupun penghujahan sepanjang kes ini berlangsung lebih 5 tahun, turut menyentuh isu-isu asas agama Kristian itu sendiri.

Perkara ini tidak boleh dielakkan kerana The Herald ialah majalah yang diterbitkan pihak Gereja, suka atau tidak, isu berkaitan perkara asas dalam agama Kristian perlu dibawa masuk untuk mengukuhkan hujah pihak Gereja.