Friday, June 20, 2014

YTL, buktikan anda bukan kroni kerajaan, cabar MTEM

Francis_Yeoh_300x200
PETALING JAYA: Pengarah Eksekutif Majis Tindakan Ekonomi Melayu ( MTEM ), Mohd Nizam Mahshar, meminta Tan Sri Francis Yeoh  sebagai Pengarah Urusan YTL Corp untuk membuktikan dia dan syarikatnya tidak bersalah atas kenyataan beliau baru-baru ini bahawa beliau tidak pernah bergantung kepada “pemberian kerajaan”.

“Kemukakan juga bukti anda bukan kroni!,” katanya.
Ini satu tuduhan berat terhadap kerajaan, dan pada masa sama merupakan satu penafian serius untuk Yeoh mengatakan bahawa dia bukan seorang kroni. Tuduhannya itu berhubung kait dengan rasuah, dan juga dianggap sebagai pecah amanah.

Secara khusus, MTEM menuntut bukti dari Yeoh sendiri mengenai kenyataan YTL Corp telah kalah dalam perolehan kerajaan pada masa lalu, terutama ketika penubuhan YTL Power International sebagai pembekal tenaga bebas (IPP) dalam tahun 1990-an.
Dalam pada yang sama, beliau mengatakan kapitalisme kroni telah wujud selama 20 tahun. Namun beliau menidakkan dirinya sebagai seorang kroni, sebaliknya menggelarkan syarikatnya sebagai “inovatif”.
“Jika sedemikian, dia perlu membuktikan “inovasi” ciptaan beliau. Beliau juga perlu buktikan bahawa apa sahaja kontrak yang beliau perolehi telah memanfaatkan rakyat Malaysia, terutamanya Bumiputera, dan bukan hanya ahli keluarga dan syarikat-syarikatnya.
“Adakah terdapat apa-apa prospek perkongsian kekayaan yang dikongsi YTL bersama syarikat Bumiputera di luar sana, atau adakah ia sekadar “kronisme berinovasi” buat pihak syarikat dan pengarah urusannya?,” kata Nizam.
Dalam laporan tahunan 2013, YTL Corp mencatatkan pendapatan berjumlah hampir RM20 bilion, dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.8 bilion. Ekuiti yang diagihkan kepada pemilik syarikat induk pula adalah sebanyak RM13.3 bilion.
“Apakah yang telah rakyat Malaysia dan Bumiputera perolehi daripada YTL dari segi ekuiti bernilai lebih RM13 bilion ini? Apa yang rakyat Malaysia dapat daripada program pembangunan vendor (VDP) dan kerja-kerja subkontrak mereka? Dan juga, apa yang telah YTL sumbang semula secara langsung kepada rakyat, terutamanya Bumiputera, menerusi sektor pekerjaan?,” soalnya lagi.
Tambahnya, YTL harus sedar bahawa segala keuntungan dan kekayaan yang dikaut dari lebih 13 projek kerajaan datang dari dompet pembayar cukai dengan niat untuk berkongsi kekayaan itu bersama rakyat.
“Setelah apa yang kerajaan berikan kepada beliau melalui perolehan rundingan terus pada masa lalu dan sekarang, Francis Yeoh dan YTL perlu cermin diri mereka sendiri, apa yang telah beliau dan syarikat lakukan untuk menangani jurang pendapatan di kalangan rakyat Malaysia?
“Ini mencetuskan persoalan kepada diri kita sendiri, bagaimana sebuah syarikat seperti YTL boleh menerima kontrak berbilion-bilion ringgit sementara bersepah-sepah syarikat-syarikat bumiputera kecil dan sederhana begitu perit untuk mendapat kelulusan pinjaman RM10,000.00 daripada agensi-agensi kerajaan seperti TERAJU atau PEMANDU atau TEKUN Nasional yang ditubuh untuk membantu rakyat Malaysia, terutamanya Bumiputera setiap hari?,” soalnya.
Tambahnya, MTEM tidak memandang YTL sebagai satu-satunya penyangak dalam perkara ini. Terdapat banyak lagi syarikat-syarikat di Malaysia yang wujud hari ini selepas mendapat “keistimewaan” daripada kontrak rundingan terus yang bernilai beratus juta semasa zaman kemerosotan ekonomi dan tidak pernah membayar balik hutang walau sesen pun kepada kerajaan.
“Kesemua syarikat-syarikat sebegini, termasuk YTL telah sekian lama banyak mendapat manfaat, ihsan dari kerajaan tetapi jarang pula dilihat secara adil membalas balik jasa dalam jangka panjang terutama sekali di dalam menangani jurang pendapatan dan kekayaan negara.
“Kepada syarikat-syarikat ini, MTEM mencabar mereka untuk tampil ke hadapan dan mengakuinya,” akhirinya.