Tuesday, October 22, 2013

Belanjawan Pakatan Rakyat 2014: Relevan Atau Tidak?

Entah kenapa banyak pihak memandang rendah belanjawan Pakatan Rakyat yang dibentangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di bangunan Parlimen semalam. 

Belanjawan yang antara lain berteraskan kepada 3 perkara asas iaitu 1) Pengukuhan Kedudukan Fiskal Negara dan Pemerkasaan Kewangan Awam 2) Pembangunan Ekonomi yang Seimbang, Inklusif dan Mampan 3) Peningkatan Kesejahteraan dan Kualiti Hidup Rakyat itu sepatutnya menjadi rujukan utama rakyat tentang cara sebenar menguruskan kewangan negara.

Tapi itu tidak berlaku, selain kurang mendapat liputan media walaupun dari kalangan media pro Pakatan Rakyat sendiri, entah dimana silapnya, aku sendiri pun berkali-kali ganda hairan.

Mungkin semua pihak sedang tertumpu kepada persiapan pilihanraya kecil Sg. Limau?  Tapi kalau pun itu benar, takkanlah semua perhatian tertumpu ke Kedah, sehingga perkara besar seperti ini diketepikan begitu sahaja.

Perkembangan ini sudah tentu membingungkan, tambahan lagi belanjawan  sebenar negara untuk tahun 2014 akan dibentangkan Najib Tun Razak tidak berapa lama dari sekarang.  Jadi penting untuk semua pihak meneliti belanjawan Pakatan Rakyat kerana ada besar kemungkinan ia akan mempunyai banyak persamaan dengan belanjawan sebenar yang akan dibentangkan nanti.

Yang paling penting, di dalam belanjawan ini, Pakatan Rakyat memberikan komitmen untuk tidak melaksanakan Good & Services Tax (GST) bagi menggantikan cukai kerajaan yang dilaksanakan sekarang, sehingga rakyat mempunyai pendapatan yang cukup tinggi untuk menyerap kenaikan harga barang kesan dari pengenalan cukai tersebut.

Pakatan Rakyat memang bersetuju untuk melaksanakan GST, tapi bukan sekarang.

Bercakap tentang itu, aku suka nak mengesahkan disini bahawa kerajaan BN akan memperkenalkan GST dalam belanjawan 2014 yang bakal dibentang Najib Jumaat nanti.  Nilai GST itu aku tidak boleh nyatakan disini atas sebab-sebab tertentu, tapi ia di antara 3% hingga 5%.

Walaupun nampak rendah dari kadar cukai kerajaan sekarang sebanyak 6%, tapi kesannya kepada harga barang adalah begitu ketara sekali kerana ia mempunyai kesan berganda (multiple impact).  

Bahasa mudahnya, kalau dulu keseluruhan harga dan perkhidmatan itu sahaja yang dikenakan cukai kerajaan sebanyak 6%, tapi dengan GST, setiap proses - dari mula hingga akhir, akan dikenakan cukai!!

Pun begitu, satu kelemahan besar yang aku kesan dalam belanjawan Pakatan Rakyat ini ialah, kegagalan memasukkan rancangan Najib untuk menurunkan subsidi beberapa barangan keperluan seperti minyak masak, gula dan tepung. 

Tidak setakat itu, aku dimaklumkan ada diantara barangan ini yang akan dimansuhkan terus subsidinya.

Aku tidak menyalahkan Anwar kerana kesilapan ini, tapi kepada mereka yang bertanggungjawab menyediakannya.  Mungkin kerana kealpaan masing-masing, belanjawan 2014 Pakatan Rakyat jadi kurang menarik, malah tidak relevan pada mata sesetengah pihak.

No comments: