Sunday, October 13, 2013

Contohi Selangor, henti politik balas dendam

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan tindakan kerajaan negeri memberikan imbuhan kepada Ketua Pembangkang Dewan Negeri dapat dicontohi oleh kerajaan negeri yang lain.

Timbalan ketuanya, Mohd Sany Hamzan (gambar) berkata, ini terutamanya kerajaan negeri yang diperintah oleh BN yang masih lagi mengamalkan budaya politik samseng, jijik dan balas dendam kepada parti pembangkang di negeri masing-masing.

Sehubungan itu, kata beliau pihaknya merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat negeri kerana telah mengambil satu langkah yang murni di dalam membina sebuah pentadbiran yang telus dan baik dengan pemberian beberapa keistimewaan kepada Ketua Pembangkang dari Sungai Burong, Datuk Shamsudin Lias sejajar dengan imbuhan yang diterima oleh Ketua Pembangkang di peringkat Parlimen.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan ketua pembangkang adalah salah satu komponen penting untuk 'semak dan imbang' kepada pemerintah sedia ada.

Ketua pembangkang bakal menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun setiausaha kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun-elaun lain yang kesemuanya berjumlah RM8,620 sebulan.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor cukup yakin tindakan yang telah diambil ini boleh menyemarakkan satu siri politik baru yang lebih mulia dengan masing-masing pihak kerajaan dan pembangkang saling mengiktiraf dan menghormati sesama sendiri dan seterusnya membina seni politik berdasarkan penghujahan yang berfakta serta menolak politik sempit dan balas dendam,” ujar Sany dalam satu kenyataan.a

No comments: