Tuesday, October 22, 2013

PRK Sg Limau: 'Perang' Sebelum Azam Disahkan Sebagai Calon?

Aku telah sebut semalam bahawa calon PAS untuk pilihanraya kecil (PRK) Sg Limau telah dikecilkan kepada 3 daripada 8 sebelumnya.  Kompromi saat akhir antara 3 kumpulan berlainan menyaksikan senarai tersebut dipendekkan kepada dua sahaja.

Mereka yang dimaksudkan ialah Azam Samad dan Muzaini Azizan, sementara Musaddak Ahmad diketepikan.

Ternyata malam tadi Azam Samad benar-benar diumumkan sebagai calon PAS bagi PRK tersebut, mengesahkan bahawa aku tidak membuat tekaan rambang, sebaliknya ia adalah berdasarkan sumber-sumber aku sendiri yang rapat dengan kepimpinan PAS Kedah dan Pusat.

Bagaimanapun, pemilihan Azam sebagai calon mula menimbulkan masalah sebaik BN mengumumkan Dr. Ahmad Sohaimi Lazim sebagai calon parti tersebut lewat petang semalam.

Difahamkan selepas pengumuman nama Sohaimi, ada cubaan untuk memasukkan semula nama Musaddak sebagai calon bagi menyaingi kelebihan akademik yang dimiliki bekas pensyarah kanan Universiti Perguruan Sultan Idiris (UPSI) itu.

Musaddak dikatakan calon yang lebih sesuai dalam berhadapan dengan Sohaimi kerana telah matang dalam politik (pernah bertanding 2 kali sebagai calon pilihanraya), berbanding Azam yang pertama kali bertanding sebagai calon pilihanraya.  

Walaupun Musaddak tewas di Guar Chempedak dalam PRU13 yang lepas, tapi latar belakang keluarga dan pengalamannya dalam politik/karier, dikatakan jauh melebihi Azam.

Abang-abang Musaddak seperti Nakhaie Ahmad (bekas MP Baling), Ustaz Zawawi Ahmad (bekas MP Padang Terap), Allahyarham Suhaimi Ahmad (bekas ADUN Kupang) dan Brig, Jeneral Najmi Ahmad (bekas Pengarah KAGAT, kini menuyertai PAS) adalah nama besar dalam politik tanahair.

Dari segi kerjaya, Musaddak sekurang-kurangnya pernah menjadi guru besar di 2 buah sekolah, sementara Azam hanyalah bekas Guru Penolong Kanan dan sekarang menjadi Pengarah Jabatan Pasti Kedah.

Sampai ke satu tahap, ada yang mempersoalkan dimana maruah PAS bila mencalonkan orang yang sekadar bertanggungjawab ke atas kanak-kanak pra sekolah, untuk berhadapan dengan pensyarah kanan universiti?

Cadangan mencalonkan Musaddak bagaimanapun mendapat bantahan keras Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar yang tidak selesa dengan perubahan calon pada saat akhir, lagipun Azam adalah calon pilihannya, sementara Musaddak dari kumpulan Phahrolrazi.

Perbezaan pendapat ini pasti mencetus pertelingkahan yang lebih besar jika tidak kerana campur tangan Presiden PAS, Datuk Seri Abd Hadi Awang yang mengesahkan pencalonan Azam.  

Walaupun isu itu selesai, aku bimbang pihak yang tidak berpuas hati akan memberi undi protes kepada PAS semasa proses pengundian 4 November nanti.

Kalau perbalahan ini berlaku di negeri lain, aku tak berapa kisah, masalahnya ini berlaku di Kedah, dimana berlaku protes besar-besaran terhadap pentadbiran arwah Azizan yang membawa kepada terlepasnya Kedah ke tangan BN dalam PRU13 yang lepas.

No comments: