Oleh Anna Majid
Mewujudkan kelebihan bagi Kuala Lumpur dalam mendapatkan ruang dan akses yang lebih luas dalam pasaran perniagaan dengan rakan dagangan terutamanya Amerika Syarikat, Jepun dan negara Asean lain adalah antara sebab utama mengapa pihak kerajaan mempertimbangkan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ini.
Selain daripada itu,cadangan menurunkan tarif diantara negara-negara yang terlibat, TPPA melalui inisiatif perdagangan bebas dilihat mampu membantu mengembangkan lagi eksport negara ke aras pasaran global.
Walaupun masih belum ada kata muktamad mengenai TPPA, siri jelajah anti-TPPA yang dipimpin oleh Chegu Bard (SAMM) berserta beberapa NGO lain termasuk Badan Bertindak Bantah TPPA (BANTAH) terus berlangsung.
Forum Semasa Siri Jelajah TPPA pada 4 Oktober lepas di Pusat Komuniti DAP Bakri dan Bentayan yang dihadiri pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat seperti Chua Wee Beng, Hatta Ramli, Khalid Samad dan R Sivarasa dan Azlan Awang yang berakhir dengan pembakaran patung Barack Obama serta bendera Amerika yang dilihat usaha mengumpul momentum bagi menghentam niat Najib Tun Razak berkenaan isu terbabit.
Pentas perdana anti-TPPA yang dijadualkan pada 10 Oktober ini di Kelab Sultan Suleiman pula akan dihadiri oleh nama-nama seperti Hishamuddin Rais, Adam Adli serta Anwar Ibrahim sendiri dengan gimik bahawa Tun Mahathir Mohamad akan turut serta.
Destinasi akhir siri jelajah ini akan bernokhtah dengan demonstrasi yang dijadualkan pada 11 Oktober ini di KLCC.
Namun disebabkan keputusan Obama untuk menangguhkan kedatangan beliau ke Malaysia, demonstrasi anti-TPPA kini akan punya ‘penonton’ baru iaitu John Kerry, wakil AS yang menggantikan Obama dalam Persidangan Keusahawanan Antarabangsa 2013 ke-4 (GES 2013) yang berlangsung 11 dan 12 Oktober ini.
Seperti sedia maklum, John Kerry adalah antara ‘kawan rapat’ Anwar di Amerika, keduanya terlibat sebagai penceramah dan peserta dalam forum US-Muslim World di Doha, Qatar.
John Kerry menyatakan bantahan terhadap kes liwat Anwar sekembalinya dari Doha. Oleh yang demikian, saat berpuluh-puluh NGO membantah tindakan kerajaan menandatangani perjanjian TPPA, adakah pemimpin tertinggi PKR, Anwar benar-benar akan turun padang berdiri bersama-sama SAMM, BANTAH, MTEM dan yang lainnya di KLCC nanti?
Adakah Anwar akan sekeras-kerasnya menolak TPPA sedangkan kawan baiknya sendiri, Chairil Tanjung adalah individu yang bertanggungjawab mengetuai perbincangan antara Amerika dan Indonesia dalam isu TPPA ini?
Adakah Anwar akan bersama-sama melaungkan bantahan atau mungkin juga membakar efigi Obama dan bendera Amerika di hadapan perwakilan Amerika, John Kerry?
Adakah Anwar akan berani jujur di hadapan John Kerry – menentang apa yang diperkatakan sebagai tidak adil kepada rakyat dan negara?
Anna Majid adalah pemerhati politik tanahair.
No comments:
Post a Comment