Monday, November 11, 2013

Bunuh lagi: Keselamatan awam sudah tidak terjamin


KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan ke atas ke atas Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Ahmad Rafli Abdul Malek(gambar), petang semalam. 


“Sesungguhnya ini merupakan satu tindakan yang tidak wajar kerana agama Islam tidak membenarkan kita mengambil nyawa orang lain sesuka hati,” ujar Presidennya, Amidi Abdul Manan dalam kenyataan kepada Harakahdaily.



Menurutnya, memandangkan pelbagai khabar angin yang tersebar menerusi pelbagai media, Abim menyeru masyarakat agar bertenang serta memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan serta tindakan selanjutnya.



Abim juga, katanya menggesa agar langkah-langkah yang sewajarnya diambil bagi mengelakkan perkara itu berulang. 



Tambahnya, satu mekanisme kawalan keselamatan perlu difikirkan bagi penjawat awam yang berhadapan dengan risiko keselamatan nyawa terjamin.



“Abim ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Ahmad Rafli Abdul Malek,” ujarnya. 



Beliau berkata, Allahyarham Ahmad Rafli merupakan seorang pegawai yang berdedikasi dan bertanggungjawab dalam melaksanakan amanahnya. 



“Sesungguhnya kehilangan beliau amat dirasai oleh kita semua. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah,” katanya lagi.



Sementara itu, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang terkejut dengan perbuatan terkutuk itu mengecam sekeras-kerasnya  pembunuhan sedemikian rupa yang membuktikan keselamatan awam sudah tidak terjamin lagi.



Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pembunuhan yang sangat memeranjatkan seluruh rakyat di negara ini membuat semua bertanya bagaimana sekali lagi senjata api begitu mudah diperolehi di negara ini,



“Untuk melakukan jenayah sekejam ini di siang hari ketika mangsa berada bersama dengan ahli keluarga di rumah sendiri adalah suatu yang sangat mengejutkan. 



“Ia tidak mungkin dapat mengelakkan tanggapan umum bahawa penjenayah di negara ini semakin berani dan tidak takut dengan undang-undang,” ujarnya kepada Harakahdaily.



Persoalannya, kata beliau jika penjanayah sedemikian berani, apakah ini menandakan pihak keselamatan tidak lagi digeruni untuk berupaya menyekat jenayah awam.



Katanya, setiap kali pembunuhan nekad berlaku di negara ini, masyarakat awam tidak lagi mempercayai pihak keselamatan boleh menjaga keselamatan awam.



“Kami memperakui bahawa pembunuhan seperti ini sudah tentu di luar kemampuan pihak polis untuk membendungnya. Tiada siapapun dapat menduga bagaimana penjenayah beroperasi secara mengejut. 



“Akan tetapi insiden jenayah bunuh yang semakin kerap menunjukkan bahawa gejala jenayah semakin berleluasa,” katanya.



Justeru, tambahnya, Mapim berpendirian suatu tindakan drastik perlu segera dilakukan oleh pihak keselamatan awam bagi membanteras jenayah di negara ini.



Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Ahmad Rafli.

No comments: