Wednesday, November 20, 2013

Harga barangan di Sabah bakal melonjak paling tinggi

KOTA KINABALU : Harga barangan keperluan di Sabah dijangka melonjak naik mulai sekarang dan akan lebih dirasai mulai Januari depan apabila dasar “gaji minimum” akan berkuat kuasa sepenuhnya kepada semua pemilik perniagaan di seluruh negara.
Kerisauan ini ditimbulkan oleh Persatuan Hal-Ehwal dan Perlindungan Pengguna Sabah (CAPS) yang menyatakan hari ini kebanyakan daerah di Sabah sudah pun mula melaporkan kenaikan harga pelbagai barangan.
“Sama ada berasaskan gula atau tidak, nampaknya harga banyak barangan terutama sekali makanan sudah pun mulai naik di Sabah, berikutan penguatkuasaan dasar “gaji minimum” RM800 di Sabah,” kata jurucakap CAPS, Donny Yapp yang juga timbalan bendahari pertubuhan itu.

“Kita risau harga barangan lain akan turut naik bulan Januari, 2013 nanti. Kami sudah pun mula menerima aduan bahawa kedai-kedai runcit mungkin bakal menaikkan harga biskut, sos dan makanan dalam tin Januari depan sebab mereka dikatakan sudah diberi peringatan mengenai kemungkinan itu oleh pemborong dan pengedar,” katanya.
Menurut Yapp, alasan yang diberi kepada kenaikan harga pelbagai barangan ialah naiknya harga gula, petrol dan dasar gaji minimum yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan sudahpun memberi kesan kepada kos pengeluaran dan pengangkutan semua barangan di Sabah.
Katanya harga minuman panas dan sejuk di pelbagai tempat di Sabah dilaporkan rata-rata sudah naik antara 30 sen dan 50 sen, walaupun masih ada kedai atau restoran buat masa ini mengekalkan harga lama.
“Bagaimanapun kedai-kedai ini kebiasaannya lambat-laun akan turut juga menaikkan harga minuman mereka,” tegasnya dalam satu kenyataan di sini.
Kalau sebelum ini harga segelas air kosong hanya 20 sen atau 30 sen malahan percuma di sesetengah restoran, kini ia dikenakan bayaran 50 sen walaupun tiada menggunakan sebutir pun gula di dalamnya, ujar Yapp.
“Kalau dulu segelas milo ais berharga hanya RM1.80 atau RM2.00, kini ia berharga sama ada RM2.30, RM2.50 atau RM2.80. Demikian juga segelas milo panas dulu hanya RM1.50 atau RM1.80 tetapi kini berharga sekurang-kurangnya RM2.00.
Katanya lagi untuk secawan teh panas dengan gula pula kalau dulu hanya RM1.60 kini kebanyakan restoran biasa mengenakan harga sekurang-kurangnya RM1.90.  ”Secawan kopi panas dulu hanya RM1.20 atau RM1.30 tetapi kini lebih daripada RM1.50,” ujarnya lagi.
Menurut Yapp harga itu juga turut naik pada kadar lain di restoran-restoran mewah dan berhawa dingin di bandar-bandar dan pekan besar.
Katanya harga kuih-muih juga sudah naik di mana kalau dulu RM1.00 boleh membeli tiga biji kuih di kebanyakan gerai, kini wang yang sama masih boleh membeli bilangan kuih yang sama tetapi saiz kuih itu mungkin sudah bertambah kecil.
Katanya satu lagi faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barangan di Sabah ialah kenaikan harga pasaran rumah-rumah kedai serta kadar sewa yang ditentukan sewenang-wenangnya oleh pemilik lot kedai.
“Kita ada menerima laporan pemilik kedai ketika memberi notis kenaikan sewa kedai kepada para peniaga, mereka juga menyertakan komen bahawa kalau mereka tidak sanggup menyewa mahal maka ramai lagi peniaga asing termasuk dari Pakistan sedia mengambil-alih lot kedai mereka pada kadar sewa lebih tinggi. Ini tidak berlaku di Sarawak.
“Kerajaan Negeri patut memikirkan kaedah mengatur kadar harga dan sewa rumah-rumah kedai ini dan bukan hanya membiarkan kuasa pasaran menentukannya, agar tidak wewenang-wenang dinaikkan kerana akhirnya para pengguna Sabah juga yang akan menanggung kenaikan kos baranganan,” tambahnya.

No comments: