Sunday, November 17, 2013

PAS ada formula tambah Adun di Melaka – Husam


MELAKA: PAS mempunyai formula untuk mencapai kejayaan dan menambah jumlah Ahli Dewan Undangan Ngeri (Adun) di Melaka, kata Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Justeru, tegasnya kemenangan Dr Md Khalid Kassim di Dun Bukit Baru pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13) amat penting kepada PAS khususnya di negeri ini.

Katanya, ‘anak sulung’ PAS Melaka itu yang lahir daripada kerjasama PAS bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat amat penting untuk menambah bilangan Adun di negeri ini.

“Kita nak Adun Melaka bertambah,” tegasnya ketika berucap menutup Konvensyen PAS Melaka kali kedua di Kompleks PAS Bukit Katil, dekat sini petang tadi.

Katanya, pendekatan dakwah yang dilaksanakan PAS dan diperkukuhkan lagi oleh Presiden sekarang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mampu menarik sokongan rakyat kepada parti itu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan wakil-wakil rakyat PAS supaya mengungkapkan Islam ketika berucap pada persidangan dewan.

Katanya, wakil-wakil rakyat PAS hendaklah menggabung jalin masalah yang berlaku di dalam masyarakat dengan Islam.

Ini, ujar beliau supaya rakyat tahu bahawa PAS membawa mesej Islam di Negara ini.

Beliau yang juga Adun Salor menambah, mesej dakwah yang dibawa itu dapat melepaskan tanggungjawab dengan Allah.

“Bawa mesej dakwah agar lepas tanggungjawab kita dengan Allah, kita sampaikan mesej ini di negara kita,” ujarnya lagi.

Husam berkata, PAS juga perlu membina satu pelan cara-cara mendekati masyarakat bukan Melayu.

Ini, tambah beliau, kerana ada dalam kalangan Adun PAS mencapai kemenangan pada PRU13 lalu di kawasan yang mempunyai jumlah pengundi bukan Melayu 49 peratus.

No comments: