PETALING JAYA: Pemuda Umno kini dilihat sudah tidak berani tampil ke depan untuk membantah mengenai isu melibatkan bangsa, agama dan negara.
Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka Syed Rosli Syed Harman Jamalullail berkata ini kerana Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin sendiri menegaskan bahawa Pemuda Umno tidak perlu menjadi terlalu ekstrem.
Menurut Syed Rosli, Khairy mengeluarkan kenyataan itu selepas beliau berjaya mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Umno yang lepas, sebalikya berkata Pemuda Umno perlu berfikiran lebih terbuka dan sederhana dalam tindakan mereka.
“Jadi tugas-tugas untuk bangkit kedepan untuk beri bantahan dalam isu yang berbangkit diserahkan kepada NGO-NGO seperti Perkasa,” katanya apabila dihubungi FMT hari ini.
Syed Rosli yang pernah menentang Khairy dalam pertandingan Ketua Pemuda bulan Oktober lalu turut berkata beliau tidak terkejut tiada wakil Pemuda Umno yang tampil kedepan membangkang perbuatan Singapura yang membenarkan negara itu menjadi pengkalan pengintipan kuasa asing bagi menjalankan risikan ke atas negara-negara jiran termasuk Malaysia.
“Saya tak harap mereka ke depan kerana Pemuda Umno di bawah Khairy lebih bersifat liberal,” jelasnya lagi.
Menurutnya lagi, kini ramai yang menyertai Umno untuk mengejar projek, kontrak dan jawatan sahaja.
“Mereka sudah tidak agresif kerana pimpinan sekarang memikirkan perbuatan tersebut seperti berfikiran ke belakang,” katanya.
Beliau bagaimanapun menolak dakwaan bahawa ahli Pemuda Umno kini tidak seberani Perkasa.
“Dalam Perkasa sendiri memang ramai ahli Umno yang menggunakan NGO itu untuk berjuang dengan lebih ekstrem,” jelasnya yang menambah ramai rakan-rakannya juga merupakan ahli Umno dan Perkasa.
Beliau bagaimanapun berkata sifat terbuka yang diamalkan oleh Pemuda Umno ini boleh diterima apabila orang Melayu sudah berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain dalam negara.
Turut baca :
No comments:
Post a Comment