Thursday, November 28, 2013

Peruntukan Selangor masih berbaki

  • Tan Sri Abdul Khalid IbrahimTan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 1 / 1 
SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor hanya membelanjakan RM3.2 bilion daripada RM3.5 bilion yang diperuntukkan untuk pembangunan dari tahun 2008 hingga tahun lalu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, jumlah yang dibelanjakan itu bersamaan dengan 91.53 peratus.

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah peruntukan tahunan bagi setiap jabatan untuk melaksanakan pelbagai projek dan program pembangunan dirancang.


“Bagaimanapun, beberapa kekangan seperti isu berkaitan tanah, utiliti dan sebagainya menyebabkan ada beberapa jabatan tidak mencapai tahap 80 peratus di dalam belanja pembangunan.

“Antara jabatan yang tidak mencapai tahap dalam tempoh itu adalah Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Agama Islam, Jabatan Kehakiman dan Syariah dan Jabatan Kerja Raya,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Yaakob Sapari (Adun PKR - Kota Anggerik).

Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri sentiasa memantau prestasi perbelanjaan jabatan bagi memastikan sasaran perbelanjaan ditetapkan dapat dicapai melalui pelaksanaan projek-projek dirancang.

Menurutnya, antaranya adalah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Teknikal Negeri Selangor, dan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Projek Pembangunan Negeri dikendalikan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi membincangkan
isu dan masalah serta mencari kaedah penyelesaian yang terbaik bagi memastikan projek dan program dirancang dan dalam pelaksanaan berjalan lancar.

“Dalam masa sama, pemantauan berterusan dibuat oleh UPEN di dalam mesyuarat dan perjumpaan bersama jabatan berkaitan bagi memastikan peruntukan dan projek atau program berjalan mengikut jadual dan sasaran ditetapkan,” katanya.

No comments: