Thursday, November 14, 2013

PPSMI bunuh identiti masyarakat secara perlahan?

KUALA LUMPUR: Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidaklah wajar dilakukan walaupun telah ada persiapan yang mantap dari segi guru dan juga bahan pembelajaran apatah lagi jika dilakukan dalam keadaan yang tidak tentu arah. 

“Bahasa Melayu adalah harta kita. Janganlah disia-siakan demi sesuatu yang tidak pasti. Persis kata peribahasa Melayu lebih berharga mutiara sebutir dari pasir sepantai. Hargailah bahasa kita sebaik mungkin sepertimana ia sepatutnya,” ujar Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Muhamad Aliemran Norasid dalam satu kenyataan.



Justeru, katanya PKPIM yang mewakili suara mahasiswa di Malaysia sejak dari awal membantah keras dasar PPSMI yang banyak mendatangkan keburukan. 

Beliau berkata, begitu banyak bantahan baik dari pelajar ataupun guru di mana mereka sukar untuk memahami pelajaran, malah membuatkan mereka hilang minat untuk mendalami pelajaran, baik Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. 

Berikut kenyataan penuh beliau.

PKPIM melihat serius kenyataan mantan pimpinan negara dalam usahanya mengembalikan PPSMI. 

Pihak kami yang mewakili suara mahasiswa di Malaysia sejak dari awal membantah keras dasar PPSMI ini yang banyak mendatangkan keburukan. 

Begitu banyak bantahan baik dari pelajar ataupun guru di mana mereka sukar untuk memahami pelajaran, malah membuatkan mereka hilang minat untuk mendalami pelajaran, baik Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik. 

Kami menyambut baik usaha memartabatkan Bahasa Melayu seperti MBMMBI dan beberapa agensi lain seperti DBP yang komited dalam usaha ini.

Dalam arus modenisasi ini sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. 

Penubuhan negara yang telah pun melewati lebih daripada 50 tahun penubuhannya seharusnya sudah boleh mendewasakan dan mematangkan kader-kadernya. 

Namun begitu adakah pemimpin-pemimpin kita seperti itu? Sudah cukup dewasakah mereka dalam memimpin negara ini dalam setiap akta baru yang dibuat?  

Setiap sesuatu organisasi yang ingin berjaya, dihormati dan disegani perkara penting yang perlu mereka tahu ialah sejarah. “If you don’t know history, then you don’t know anything. You are a leaf that doesn’t know it is part of tree”(Michael Crichton). 

Antara sebab dan kenapa kami (PKPIM) mempersoalkan kepimpinan pemimpin adalah kerana berlakunya sesuatu yang sungguh drastik dan memeranjatkan kebanyakan masyarakat Melayu umumnya iaitu PPSMI yang berkuat kuasa pada tahun 2003. Kami melihat PPSMI merugikan melebihi keuntungannya.

Antara sebab kami menentang dasar ini adalah kerana telah tertulis dengan jelasnya dalam perlembagaan persekutuan perkara 152 iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. 

Bahasa Melayu ialah satu bahasa yang luas penggunaannya. Dianggarkan lebih 300 juta orang di seluruh dunia boleh bertutur dengan baik menggunakan bahasa Melayu. 

Bahasa Melayu sendiri pernah diangkat menjadi bahasa lingua franca di Asia Tenggara khususnya pada zaman kemahsyuran kesultanan melayu Melaka.  

Sejarah telah membuktikan bahawa kita telah melahirkan ramai cendekiawan-cedekiawan  yang hebat dengan menggunakan bahasa melayu. Namun begitu perkara 152 ini tidak ubah seperti indah khabar dari rupa sekarang ni. 

Masakan tidak, penggunaan bahasa Inggeris melebihi penggunaan Bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi di negara ini. Ini secara tidak langsung telah mencabuli perlembagaan itu sendiri.

Berbalik dengan tujuan PPSMI itu diguna pakai adalah untuk menjadikan pelajar-pelajar lebih maju dan hebat dalam bahasa inggeris. 

Namun apa hasilnya? Adakah hasil yang diperolehi seperti apa yang diinginkan. Sedangkan bahasa Inggeris itu sendiri mereka merasakan kesusahan untuk mempelajarinya inikan pula ditambah Sains dan Matematik yang sudah semestinya susah dan bertambah-tambah kesusahannya dengan menggunakan Bahasa Inggeris. 

Minat pelajar untuk mengikuti jurusan sains di sekolah semakin merosot ke tahap yang sangat kritikal, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Muhamed Khaled Nordin. 

Jadi tidak hairanlah  kita  sering kali mendegar keluhan dan rungutan dari pelajar-pelajar mengenai permasalahan ini. 

Selari dengan itu kita dapat melihat keputusan yang merudum di kalangan pelajar dalam matapelajaran tersebut. 

Sedarkah kita dengan pekara ini ataupun mata kita telah menjadi gelap untuk melihat perkara-perkara seperti ini?

Menariknya kebanyakan Negara maju meggunakan bahasa ibunda mereka sendiri seperti Jepun, Perancis, Thailand dan banyak lagi. Jadi di manakah silapnya kita untuk mengagung-agungkan bahasa yang bukan bahasa ibunda kita. Berhasrat ingin melebih-lebihkan bahasa lain. 

Natijahnya kita kehilangan kedua-duanya. Bahasa Inggeris entah kemana Bahasa Melayu pula terus pudar di bumi sendiri sesuai dengan peribahasa yang berbunyi yang dikejar berciciran, yang dikendong bertaburan. 

Ini telah menjatuhkan kedudukan dan martabat Bahasa Melayu itu sebagai bahasa ilmu. Dalam laporaran UNESCO 1974 sendiri ada menyatakan perkembangan sesuatu pendidikan negara adalah berdasarkan bahasa Natif negara itu sendiri dimana bahasa Natif negara kita adalah Bahasa Melayu.

Seperti yang kita semua maklum PPSMI mula dilaksanakan pada tahun 2003 tanpa ada perancangan yang teliti dan dilaksanakan secara tergesa-gesa berikutan pengusulan mengenai PPSMI ini hanyalah bermula pada tahun 2002.

Bahan mengajar, guru-guru tidak mendapat latihan yang lengkap sehinggakan ada guru-guru yang sanggup berhenti kerana tidak mampu menyampaikan PPSMI.  

Ataupun dapat kita lihat bahawa guru-guru masih menggunakan bahasa Melayu ketika mengajar padahal bahan mengajar menggunakan Bahasa Inggeris. Ini menambahkan lagi kebingungan dalam diri pelajar. 

Meskipun PPSMI yang dijalankan sebelum ini tidak ada perancangan yang rapi namun  begitu sekiranya ada perancangan yang rapi kami masih membantah dengan dasar PPSMI ini. 

Ini bersesuaian dengan banyak ura-ura mengenai pnggunaan dasar PPSMI kembali di masa akan datang.

Akhir bukan penghujung kita boleh lihat bahawa masyarakat melayu semakin kehilangan identiti kemelayuannya. 

Bahasa Melayu dirojakkan dan menjadi bahasa pasar. Watak kepura-puraan untuk menjadi “mat saleh” sungguh mengejutkan. Keberhasilan bagi mereka hanyalah menjadi “mat saleh celup”. 

Kita seharusnya berpijak di bumi yang nyata bukannya berdiri megah tapi hanyalah di awang-awangan. Sekiranya perkara ini berterusan tidak mustahil suatu saat kita akan kehilangan sepenuhnya identiti kita sebagai orang melayu. 

Satu perkara penting yang kita tidak boleh pandang enteng ialah kemahiran dalam bahasa Inggeris tidak menjamin satu standard yang tinggi dalam pendidikan. 

Sebagai bukti di 200 universiti teratas di peringkat asia dan global , di mana penggunaan Bahasa Inggeris sebagai satu medium untuk berkomunikasi bukanlah criteria penentu untuk memperoleh pengetahuan dan pengiktirafan antarabangsa.

Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, PPSMI ini tidaklah wajar dilakukan walaupun telah ada persiapan yang mantap dari segi guru dan juga bahan pembelajaran apatah lagi jika dilakukan dalam keadaan yang tidak tentu arah. 

Bahasa Melayu adalah harta kita. Janganlah disia-siakan demi sesuatu yang tidak pasti.  Persis  kata peribahasa Melayu lebih berharga mutiara sebutir dari pasir sepantai. Hargailah bahasa kita sebaik mungkin sepertimana ia sepatutnya. 

Malaysia seharusnya mencontohi system pendidikan Belanda, Belgium dan Switzerland yang rakyatnya boleh berbahasa Inggeris dengan tidak mengabaikan bahasa ibunda. Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik, dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi sehingga ke akar umbi.

Sesuai dengan kami sebagai gerakan pelajar, kami sertakan satu ayat al-Quran bagi kita sama-sama merenung dan memikirkan ayat ini. “Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya ataupun miskin, maka Allah lebih tahu kemaslahatannya. Maka jaganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran. Dan jika kamu memutar balikkan (kata-kata) atau enggan menjadi saksi maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui segala apa yang kamu kerjakan. (4:135). Semoga kita semua dalam rahmatNya. Barakallahufik’

No comments: