Friday, November 1, 2013

Selangor Kekal Tawaran RM 9.65 Billion

Shah Alam: Kerajaan Negeri Selangor tidak berhasrat untuk menyemak semula tawaran berjumlah RM9.65 bilion yang ditawarkan kepada syarikat-syarikat konsesi air pada Februari 2013 bagi memuktamadkan penyusunan semula perkhidmatan pembekalan air di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri berpendapat tawaran yang memberikan 12% keuntungan kepada pemegang saham itu adalah lebih adil kepada syarikat-syarikat konsesi .

"Penswastaan air bertujuan untuk memberi perkhidmatan air yang lebih cekap  dengan tarif yang munasabah. Dasar ini tidak bertujuan untuk membolehkan pemegang konsesi membuat keuntungan melampau di atas kesusahan rakyat selaku pengguna.  Walau bagaimanapun, tawaran yang kami berikan ini adalah lebih munasabah jika dibandingkan dengan amalan korporat,” katanya.

Menteri Besar membuat penjelasan ini susulan laporan media baru-baru ini yang menyatakan kerajaan negeri menyemak semula harga tawaran kepada syarikat-syarikat konsesi.

Beliau berkata, pegawai kanan kerajaan negeri telah mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air serta agensi Persekutuan lain seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) bagi memastikan tarikh akhir rundingan ini diselesaikan pada hujung tahun ini akan dicapai.

"Dalam mesyuarat-mesyuarat ini, kerajaan Persekutuan telah memberi maklum balas positif  dengan pengiraan tawaran yang kami berikan untuk membolehkan kami membeli syarikat konsesi ini dan seterusnya menyusun semula perkhidmatan industri air,” kata Menteri Besar.

Tan Sri Abdul Khalid melahirkan harapan agar kerajaan Persekutuan terus menyokong usaha kerajaan Selangor ini supaya rundingan yang terbantut sejak beberapa tahun lalu dapat diselesaikan secepat mungkin.

No comments: