Akhirnya kita semua boleh menarik nafas lega setelah Haji Mohamad Sabu (Mat Sabu) berjaya mengekalkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS dalam satu persaingan yang agak sedikit sengit semalam, menentang calon pro Ulama, Datuk Nik Amar Nik Abdullah.
Mat Sabu berjaya mempertahankan jawatan tersebut setelah mengalahkan Nik Amar dengan majoriti tipis, 98 undi. Mat Sabu memperolehi 588 undi, sementara Nik Amar 490 undi.
Kalau Nik Amar menang, hudud hampir pasti akan dilaksanakan di Kelantan kerana sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan, Nik Amar hanya menunggu lampu hijau dari perwakilan PAS sebelum melaksanakan undang-undang tersebut.
Pakatan Rakyat mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua calon-calon Timbalan Presiden seperti Datuk Husam Musa dan Salehudin Ayub yang menurut saranan Pakatan Rakyat agar menarik diri dari persaingan tersebut bagi memudahkan laluan Mat Sabu.
Selain itu, semua media-media pro Pakatan Rakyat yang memberikan ruang yang banyak untuk Mat Sabu menjelaskan hala tuju PAS sekiranya dia dipilih semula juga banyak membantu.
Tidak ketinggalan semua rumah ibadat di negeri-negeri Pakatan Rakyat yang menurut arahan kerajaan negeri dengan mengadakan upacara doa bagi membantu kemenangan Mat Sabu semalam.
Sesungguhnya, berkat dari upacara doa tersebut, ramai percaya tuhan Hindu, Buddha dan Kristian telah bersama-sama Mat Sabu semalam sehingga membantu kejayaannya.
Pakatan Rakyat berharap selepas ini Mat Sabu akan berjaya mendaki tangga lebih tinggi di dalam PAS, sebagai Presiden pula.
Ini kerana ramai pemerhati yakin dalam tempoh terdekat ini akan berlaku peralihan kuasa yang besar dalam PAS dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengosongkan jawatan itu untuk mengisi jawatan Mursyidul Am PAS bagi menggantikan Datuk Nik Aziz yang dijangka meninggal dunia.
No comments:
Post a Comment