Saturday, December 21, 2013

PR Memang Ke Arah Revolusi, So What?

Dakwaan yang mengatakan Pakatan Rakyat sedang menggerakkan revolusi untuk menumbangkan kerajaan Malaysia dengan berhimpun di jalan pada malam Sambutan Tahun Baru 2014 nanti, memang benar.

Cuma parti komponen  seperti PAS, DAP dan PKR tidak akan menonjolkan diri secara langsung sebaliknya melalui beberapa NGO pro Pakatan Rakyat seperti Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Royalti, Anti-Lynas, Bersih dan sebagainya.

Mereka inilah nanti yang akan menggerakkan revolusi jalanan tersebut untuk Pakatan Rakyat dengan menggesa anak muda turun ke jalan pada malam tahun baru.

Pakatan Rakyat bukan tidak percaya dengan peti undi, tapi tempoh masa (5 tahun) sebelum pilihanraya umum yang seterusnya dilangsungkan ini kelihatannya sungguh lama.  Rakyat pasti akan teraniaya sepanjang tempoh tersebut dan Pakatan Rakyat sebagai parti berasaskan rakyat, tidak boleh mengambil risiko tersebut.

Kejayaan revolusi ini tidak perlu dipertikaikan lagi.  Revolusi di Mesir sebagai contoh telah berjaya menumbangkan regim Hosni Mubarak dan rakyat dapat hidup dengan aman disamping menikmati kualiti lain seperti harga barang yang rendah dan sebagainya.

Walaupun begitu, Pakatan Rakyat tidak boleh terlibat (sekurang-kurangnya secara langsung) dengan aktiviti menjatuhkan kerajaan selain cara demokrasi, maka itulah NGO-NGO yang disebutkan di atas digunakan untuk mengerakkan perkara tersebut.

Pakatan Rakyat hanya memberikan bantuan dari belakang.  Setiap kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat akan memberi sumbangan bagi membolehkan gerakan revolusi ini dijalankan dengan jayanya.

Malam ambang tahun baru ini Pakatan Rakyat pilih kerana ia bertepatan dengan pelbagai kenaikan yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2014.  Tol, tarif elektrik, cukai pintu dan sebagainya adalah antara kenaikan yang dimaksudkan.

Sekarang ini pun di sana sini kenaikan harga barangan telah berlaku.  

Pakatan Rakyat dimaklumkan bahawa makanan keperluan seperti beras, ayam, sayur-sayuran dan sebagainya telah meningkat sebanyak 3 kali ganda kerana peniaga bimbang akan berlaku penyimpanan stok barangan menjelang tahun baru nanti.

Lagipun pada malam itu memang anak-anak muda akan berkumpul di Dataran Merdeka untuk menyambut tahun baru, ini sudah jadi tradisi dan apa salahnya Pakatan Rakyat menggunakan peluang ini untuk menggerakkan revolusi yang disebutkan di atas,

Sekurang-kurangnya kalau tidak ada sambutan kepada revolusi, jumlah anak muda yang ramai itu nanti boleh dijadikan bahan kempen untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa himpunan yang dianjurkan Pakatan Rakyat masih menjadi tumpuan orang ramai.

Pihak polis juga sudah pasti tidak berani bertindak kerana mereka tidak boleh membezakan yang mana perhimpunan revolusi dan yang mana sambutan tahun baru.



No comments: