• Khalid SamadKhalid Samad
 1 / 1 
SHAH ALAM - Kerajaan negeri dicadangkan melaksanakan pilihan raya terbuka memilih datuk bandar atau yang dipertua bagi menerajui pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya mereka yang dilantik memahami permasalahan rakyat dengan lebih berkesan.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, individu yang dilihat lebih berkelayakan adalah wakil rakyat yang dilantik sama ada Adun, Ahli Parlimen atau sesiapa yang berkaitan di kawasan terlibat.

Menurutnya, pilihan raya terbuka patut dilaksanakan supaya rakyat berhak memilih individu  dirasakan mempunyai karisma untuk mendengar rintihan juga menyelesaikan masalah mereka dan ia bukan perkara luar biasa malah telah pun dilaksanakan di beberapa buah negara maju.


“Saya cadangkan kepada kerajaan negeri untuk melakukan pembaharuan di Selangor dengan membuat pilihan raya terbuka dan biar rakyat memilih sendiri datuk bandar dan yang dipertua yang mereka rasakan layak.

“Ini kerana, banyak dakwaan yang diterima ada sesetengah datuk bandar atau yang dipertua langsung tidak bertemu rakyat dan buat ikut suka hati.
"Mungkin mereka ini menganggap, bukan rakyat yang melantik mereka, jadi apa perlu hendak dengar pandangan rakyat,” katanya ketika sidang akhbar di pejabatnya semalam.

Khalid berpendapat, perlaksanaan sistem itu memberi kuasa kepada pengundi untuk memilih mereka yang boleh memberi perkhidmatan mesra rakyat dalam masa sama, memantau prestasi individu yang dilantik mahu dikekalkan atau ditukar jika didapati tidak melaksanakan tugas dengan baik,

“Kalau di Shah Alam yang layak dicalonkan, kita cadangkan Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari; Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei atau Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman atau lain-lain berkaitan dan tidak memegang mana-mana jawatan dalam Exco," katanya.

Tambahnya, beliau yakin ia memberi kesan positif ke atas usaha kerajaan negeri membangunkan Selangor menjadi negeri maju memandangkan mudah mendapat kerjasama daripada individu yang dilantik rakyat.