Thursday, January 30, 2014

Anwar sah alamatnya di Kajang

  • Anwar IbrahimAnwar Ibrahim
 1 / 1 
SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan spekulasi bahawa dirinya menggunakan alamat di Kajang seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Katanya, alamat yang tertera di dalam kad pengenalannya itu turut merujuk kepada kediaman bapanya.

"Ya, saya menggunakan alamat di Kajang dan saya rasa perkara itu tak menimbulkan persoalan," katanya dalam sidang media, semalam.


Dalam kenyataan sama, beliau berkata, keputusan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang adalah sebagai langkah permulaan dalam menawan Putrajaya, selepas gagal dalam pilihan raya umum yang lalu.

Selain itu, katanya, sekiranya menang di Kajang, misi pertamanya adalah untuk menjadikan Selangor sebagai sebuah negeri contoh dalam semua aspek.

"Dalam perbincangan awal, konsensusnya kita perlu bergerak dan meluaskan tahap pencapaian sebagai sebuah negeri sederhana namun menonjol dalam semua aspek," katanya.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR turut mengakui berhutang penjelasan sebenar kepada rakyat dan penyokong parti berhubung isu ini, namun beliau menegaskan perkara tersebut akan diterangkan semasa kempen pilihan raya nanti.

"Beberapa kebimbangan adalah adil dan kami berhutang penjelasan dengan mereka.

"Kami perlu jelaskan beberapa isu yang dibangkitkan dan mereka mahu dengar daripada saya, kenapa saya terima dengan cadangan untuk berpindah ke Dun," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, akan menemui kepimpinan tertinggi DAP dan Pas bagi menjelaskan dengan lebih lanjut tentang langkah mengosongkan kerusi di Kajang.

Kelmarin, PKR mengumumkan Anwar sebagai calon yang bakal merebut kerusi itu dalam PRK Dun Kajang.

Keputusan sebulat suara itu diputuskan selepas mesyuarat PR dan diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

No comments: