Tuesday, January 7, 2014

Bekas ahli majlis enggan sambung khidmat

  • Bekas ahli majlis enggan sambung khidmatGuan Eng (tiga,kanan) bersalaman dengan Hooi Peng (lima,kiri) sambil diperhatikan empat lagi ahli majlis yang baharu dilantik.
 1 / 2 
GEORGETOWN - Selepas berkhidmat enam bulan, bekas Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Nur Fitriah Abdul Halim, 27,  tidak mahu menyambung perkhidmatannya untuk penggal 2014-2015.

Beliau yang dilantik pada Julai tahun lalu membuat keputusan itu atas alasan peribadi.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya menerima surat daripada Nur Fitriah mengenai hasratnya itu.


Bagaimanapun, Kon Yeow enggan mengulas lanjut mengenai alasan yang diberikan Nur Fitriah apabila disoal media mengenainya.

"Bukan soal prestasi tetapi kita menerima surat daripadanya ingin mengundur diri dan tidak berniat  meneruskan perkhidmatan," katanya kepada media selepas majlis angkat sumpah dan upacara penerimaan jawatan ahli MPPP di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan Yang Dipertua MPPP, Datuk Patahiyah Ismail.

Dalam majlis berkenaan, lima muka baharu dilantik untuk tempoh Januari hingga Disember 2014.

Mereka ialah Mohd Hariszuan Jaharudin, 27 dan Tan Hooi Peng, 24, dari DAP, A Kumaresan, 27, (PKR), Mohd Nasir Yahya, 60, (Pas) dan Eric Lim Seng Keat, 33 (NGO).

Pelantikan Nur Fitriah sebagai ahli majlis sebelum ini mencetuskan persoalan apabila dikatakan beliau dipilih tanpa melalui proses sepatutnya.

Beberapa pimpinan BN sebelum ini mendakwa kerajaan negeri tidak telus dalam melantik Nur Fitriah kerana beliau dipilih semata-mata untuk mengisi kuota Melayu dan jantina.

Sebelum ini,Ketua Wanita MCA negeri, Tan Cheng Liang terkejut dengan kenyataan Exco Chow Kon Yeow bahawa Nur Fitriah, pereka grafik, dipilih untuk mengisi kuota Melayu dari parti itu menggantikan Zulkifli Mohd Noor yang tidak dilantik semula.

Sementara itu, usaha Sinar Harian menghubungi Nur Fitriah gagal apabila panggilan tidak dijawab.

No comments: