Monday, January 20, 2014

Dusun Bandar: Pemuda PAS WP akan buat laporan polis, SPRM

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) akan membuat laporan polis dan berjumpa dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dengan Projek Pembangunan Taman Dusun Bandar (City Orchard Park) di Jalan Bellamy, di sini



Menurut Timbalan Ketuanya, Nurul Islam Mohammed Yusof pada 17 November lalu, DPPWP telah membuat sidang akhbar berhubung penemuan audit yang telah dilakukan sepertimana yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012 mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan Siri 1, muka surat 153 hingga 181 di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
Menurutnya, perkara tersebut masih lagi didiamkan oleh pihak-pihak terbabit dan DPPWP mengambil ketetapan untuk membuat laporan polis bagi menggesa untuk menjalankan siasatan serta berjumpa dengan pihak SPRM bagi mendapatkan maklumat sama ada mengenai status pendedahan laporan audit berkenaan.


“Tindakan ini dilakukan untuk mendapatkan kebenaran sebenar dan bagi memastikan duit rakyat disalurkan kepada saluran yang betul,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, berikut merupakan isu yang akan dikemukakan kepada pihak polis dan SPRM untuk siasatan:

1. Kontrak bernilai RM17.25 juta telah diberikan kepada Tetuan Zikhtar Associates Sdn Bhd (ZASB) yang dilantik melalui kaedah rundingan terus. Berdasarkan Surat Ketua Setiausaha Perbendaharaan bertarikh 17 April 2002 mengenai Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus, perolehan secara rundingan terus hanya boleh dilaksanakan setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan. Perolehan tersebut juga hanya boleh dipertimbangkan atas kriteria tertentu seperti keperluan mendesak, melibatkan keselamatan/strategik dan kontraktor terlibat adalah terhad.

2. Penemuan audit mendapati Tetuan Zikhtar Associates Sdn Bhd dan perunding arkitek landskap iaitu Gold Green Associates Sdn Bhd (GGASB) tidak mempunyai kepakaran khusus dalam pembangunan dusun. Berdasarkan semakan terhadap profil syarikat semasa lantikan, hanya 18% daripada projek kendalian ZASB melibatkan taman rekreasi, namun hanya terhad kepada kerja menanam dan memotong rumput di kawasan rizab jalan. Manakala hanya 8% daripada projek kendalian GGASB melibatkan taman rekreasi, namun hanya terhad kepada padang golf. Apakah justifikasi kontrak projek ini diberikan kepada ZASB?

3. Jumlah rizab tanah yang telah diluluskan untuk projek tersebut. Berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh DBKL pada 21 Mac 2013, keluasan projek tersebut menjangkau kepada 76,890.34 meter persegi setelah persempadanan semula dimuktamadkan berbanding hanya 26,951 meter persegi pada asalnya. Dimaklumkan juga, sebahagian besar daripada tapak cadangan pembangunan projek berkenaan berada di luar rizab tanah yang diluluskan dan beberapa kawasan yang hendak dibangunkan oleh DBKL dimiliki oleh agensi lain seperti Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Alam Sekitar dan Telekom Malaysia Berhad. Adakah pemilikan tanah tersebut menepati Pekeliling Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Bil. 1 Tahun 2003 dan adakah penilaian awal telah dilakukan dengan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (JKPTG) yang meliputi status pemilikan, aksesibiliti, kesesuaian lokasi, keadaan fizikal tanah dan perancangan guna tanah sekitarnya.


4. Kontrak pembekalan seperti landskap lembut (softscape) dan landskap kejur (hardscape) tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan malah harganya tidak munasabah. Contoh, kontraktor perlu membekalkan 6 komponen peralatan playground dengan kos berjumlah RM194,200. Namun, penemuan audit mendapati hanya satu komponen sahaja dibekalkan dengan kos yang lebih tinggi iaitu RM230,000. Siasatan perlu dilakukan terhadap sub kontraktor yang membekalkan komponen landskap berkenaan.

Justeru, kata beliau pihaknya mengharapkan agar pihak polis dan SPRM dapat memulakan penyiasatan segera kerana ia melibatkan kepentingan awam.


Beliau berkata, DBKL juga seharusnya bertindak dengan lebih cermat dalam mengurus kewangan dan peruntukan yang diberikan.

No comments: