Friday, January 24, 2014

Gesa SPRM cari kebenaran

  • Ir Amiruddin HamzahIr Amiruddin Hamzah
 1 / 1 
ALOR SETAR - PR Kedah mahu siasatan dibuat terhadap transaksi pembalakan yang berlaku di sepanjang Lebuhraya Trans Eastern Kedah Interland Highway (Tekih), bagi memastikan tiada unsur penyelewengan berlaku.

Sehubungan itu, Ketua Pembangkang Dun Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah bersama beberapa pemimpin PR membuat laporan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, jam 9 pagi semalam.

“Lebih dua jam laporan dibuat dengan menyerahkan dokumen berkaitan supaya SPRM menyiasat kes ini untuk mencari kebenaran. Saya tidak boleh dedahkan butiran bimbang ia mengganggu siasatan,” katanya ketika ditemui di pekarangan pejabat SPRM.


Hadir sama Adun Derga, Tan Kok Yew; Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat serta Ketua Pemuda Pas Kedah, Mohd Nasir Zakaria.
Menurutnya, laporan ini dibuat supaya kes pembalakan Tekih dan penyelesaian luar mahkamah kes saman membabitkan Syarikat Bina Darul Aman Berhad (BDB) dengan sebuah syarikat pembalakan, disiasat dan didedahkan kepada umum.

“Kami sangsi terhadap transaksi pembalakan yang berlaku di sepanjang Lebuhraya Tekih itu, bermula daripada proses tender balak yang diserahkan kepada sebuah syarikat pembalakan pada 2006,” katanya.

Amiruddin berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, syarikat itu diberi tender melalui proses yang meragukan.

“Setelah kerajaan negeri diambil alih PR (2008), syarikat pembalakan itu menyaman anak syarikat kerajaan negeri iaitu BDB dengan alasan melanggar kontrak. BDB tidak menjalankan perniagaan berteraskan pembalakan bertindak melantik peguam menguruskan kes. BDB juga disenaraikan di papan pertama Bursa Malaysia dan pemegang saham terbesarnya ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK),” katanya.

Katanya, selepas beberapa kali kes itu dibicarakan, sekali lagi kerajaan negeri bertukar tangan kepada BN selepas PRU13.

“Saya pelik kerana BDB menyelesaikan kes ini di luar mahkamah dengan pembayaran mencecah RM2.5 juta. Penyelesaian ini adalah tindakan meragukan memandangkan BDB sebelum itu sudah melantik peguam mewakili mereka dan dikatakan mempunyai peluang cerah untuk menang,” katanya.

Menurutnya, PKNK yang mempunyai wakil dalam Lembaga Pengarah BDB sepatutnya menghalang penyelesaian luar mahkamah ini yang disifatkan merugikan.

“Atas alasan itu, kami membuat laporan ini supaya SPRM menyiasat kemungkinan berlaku salah tadbir dalam penyelesaian yang dilakukan. Kami sedia beri kerjasama kepada SPRM dalam kes ini,” katanya.

Pada 16 Januari lalu, Pas Kedah menuntut kerajaan negeri membuat penjelasan berhubung kes saman terbabit, termasuk menyiasat pembalakan yang berlaku di sepanjang Lebuhraya Lekih, yang sebelum itu didedahkan Pertubuhan Angkatan Belia Bersama Ulama (Panglima).

Kelmarin, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan tindakan menyelesaikan kes saman BDB di luar mahkamah adalah jalan penyelesaian terbaik selepas dilakukan perbincangan bersama selain menyifatkan bayaran yang dibuat adalah munasabah.

No comments: