Friday, January 31, 2014

Gong Xi Fa Cai jambatan keutuhan antara kaum

Oleh Mohd Aliff Idzwan Abdullah

Sambutan Tahun Baharu Cina yang akan disambut hari ini amatlah dinanti-nantikan oleh seluruh masyarakat Cina di Malaysia.
Tidak kurang juga kaum lain seperti Melayu, India, dan kaum-kaum Bumiputera yang turut bersama-sama merayakan perayaan ini.
Bertemakan tahun kuda, bagi masyarakat Cina, tahun ini pasti mendatangkan rezeki yang lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.

Menurut laporan “Feng Shui” oleh Astro Awani, tahun kuda diramal membawa banyak cabaran khususnya dalam aspek kewangan dan juga tahun ini banyak membawa peluang untuk berjaya.
Bukan sahaja masyarakat Cina yang mempercayai ramalan ini, malahan masyarakat lain juga menjadikan ramalan ini sebagai batu loncatan untuk terus berjaya dalam kehidupan.
Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia seharusnya mengambil peluang perayaan ini sebagai jambatan untuk mengeratkan hubungan dengan masyarakat Cina.
Semangat kunjung-mengunjung yang telah diamalkan oleh masyarakat di negara ini sejak dulu lagi sememangnya menjadi asas perhubungan diantara etnik.
Melalui perayaan tahun baharu Cina, kita dapat mempelajari budaya masyarakat Cina di Malaysia disamping menghormati agama dan kepercayaan mereka.
Sebagai contoh, tarian singa yang sinonim ditarikan oleh remaja-remaja Cina, sekarang ia telah mula dikembangkan dan ditarikan oleh remaja-remaja Melayu dan India.
Inilah menjadikan negara Malaysia sebuah negara yang unik dan masyarakat Cina merasakan diri mereka adalah sebahagian daripada masyarakat Melayu dan India.
Di Kelantan kita dapat lihat, masyarakat Cina di negeri tersebut bertutur dengan baiknya dan fasih dalam bahasa Kelantan, bukankah ia nampak menarik?
Berikutan bangkitnya isu-isu agama sejak kebelakangan ini, seharusnya masyarakat Malaysia yang berbilang kaum haruslah mengambil iktibar daripada kejadian rusuhan kaum di negara lain.
Rakyat seharunya bersyukur bahawa kita mempunyai rakyat yang pelbagai kaum dan kita boleh meraikan perayaan pelbagai kaum ini dengan sifat toleransi dan hormat menghormati.
Perasaan iri hati antara kaum seharusnya dihindar oleh setiap individu agar keamanan di negara ini masih terpelihara.
Diharapkan kebangkitan isu agama dapat ditepis jauh dan dibincang secara meja bulat oleh pemimpin-pemimpin agama.
Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Sayangilah negara kita Malaysia dan kaum-kaum yang terdapat di dalamnya.
Akhir kata, Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina. Gong Xi Fa Cai.

No comments: