Saturday, January 4, 2014

Jais diminta sedia laporan berhubung serbuan

  • Sallehen MukhyiSallehen Mukhyi
 1 / 1 
SHAH ALAM - Kerajaan Negeri meminta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyediakan laporan terperinci termasuk hasil siasatan ketika merampas sejumlah naskah Bible berbahasa Melayu dalam serbuan ke atas Persatuan Bible Malaysia di Damansara pada Khamis lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Negeri, Sallehen Mukhyi dalam satu kenyataan hari ini berkata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri agar segera menyemak dan meneliti operasi Jais itu.
  
"Semakan bagi memastikan pegawai penguatkuasa Jais mematuhi (prosedur) operasi standard yang telah ditetapkan dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat pelanggaran peraturan atau kecuaian semasa melakukan rampasan dan serbuan tersebut.

  
"Ia perlu dilakukan kerana serbuan dan rampasan tersebut menggambarkan perihal pentadbiran yang melibatkan jabatan dan pegawai kerajaan," katanya.
  
Sehubungan itu, Sallehen menggesa semua pihak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi namun masyarakat bukan Islam bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
 
"Semua rakyat Selangor tidak kira agama atau kaum mesti mematuhinya bagi menjamin kelangsungan hidup berharmoni, bekerjasama dan saling menghormati antara satu sama lain yang telah terjalin sejak sekian lama," katanya.
  
Sallehen berkata pihaknya memandang serius insiden serbuan itu dan ia merupakan insiden kedua melibatkan Jais selepas pemeriksaan mengejut terhadap Gereja Methodist Damansara Utama di Damansara tahun lepas.
  
Beliau berkata susulan daripada pemeriksaan mengejut itu, kerajaan negeri telah mengarahkan Jais menyediakan satu standard operasi bagi digunakan dalam menangani isu-isu sensitif seterusnya mengelakkan daripada berlaku salah faham dan buruk sangka.
  
Sehubungan itu, Sallehen berkata pihaknya juga akan mengadakan perjumpaan dengan Pengarang Mingguan Katolik 'The Herald', Paderi Lawrence Andrew pada Selasa ini bagi membincangkan isu larangan menggunakan kalimah ALLAH bagi bukan Islam seperti yang dititahkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini. - Bernama

No comments: