Wednesday, January 8, 2014

Liew Chin Tong tawar diri jadi Pengerusi DAP Johor

  • Liew Chin TongLiew Chin Tong
 1 / 1 
JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong hari ini menyatakan kesediaan menjadi pengerusi DAP Johor yang baharu andai memenangi pemilihan jawatankuasa DAP negeri pada 12 Januari ini.
  
"Saya dengan ini menyatakan kesediaan untuk menyertai pemilihan DAP negeri Johor pada 12 Januari 2014. Seandainya dipilih sebagai seorang daripada 15 anggota jawatankuasa negeri, saya rela menawarkan khidmat sebagai pengerusi negeri," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya beliau membuat keputusan itu selepas mengambil kira sokongan daripada anggota dan penyokong DAP serta parti sekutu mereka yang menggalakkannya meneraju DAP Johor.

  
Sementara itu, Pengerusi DAP Johor Dr Boo Cheng Hau yang menyandang jawatan berkenaan sejak dua penggal lepas, sehingga kini belum menyatakan pendirian sama ada akan menyertai pemilihan kali ini.
  
Ketika dihubungi Bernama bagi mengulas kenyataan Chin Tong hari ini, Dr Cheng Hau hanya menjawab: "No Comment." 
 
Baru-baru ini, dua pemimpin kanan DAP Johor iaitu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senai Ong Kow Meng dan bekas Adun Bentayan Gwee Tong Hiang secara terbuka meminta Dr Cheng Hau yang juga Adun Skudai melepaskan jawatannya sebagai pengerusi DAP Johor.
  
Ong yang juga Naib Pengerusi DAP negeri berkata sudah tiba masanya DAP Johor dipimpin oleh pemimpin-pemimpin baharu yang lebih berkaliber seperti Chin Tongdan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching. - Bernama

No comments: