Friday, January 17, 2014

Makin panas: MB timbang semula kedudukan Azmin

  • PKNS azmin khalid
 1 / 1 
SHAH ALAM – Penamatan khidmat Adun Bukit Antarabangsa sebagai Ahli Lembaga Pengarah PKNS dikekalkan sepertimana yang diputuskan sebelum ini sementara mempertimbangkan syor Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Anwar selaku Penasihat Ekonomi Selangor dan akan mempertimbangkan kembali kedudukan Mohamed Azmin Ali dalam anak syarikat kerajaan negeri itu.

"Sebelum keputusan muktamad dibuat oleh Exco, kedudukan Ahli Lembaga Pengarah PKNS (Azmin) berkenaan kekal seperti yang diarahkan oleh Pengurus Besar PKNS untuk mengelakkan sebarang komplikasi perundangan," katanya.


Sehubungan itu katanya, pihaknya akan memanggil pengurus besar dan Setiausaha Syarikat PKNS untuk menerangkan mengapa keadaan sedemikian berlaku hingga melarat menjadi konflik.

"Perlu ditegaskan menteri besar dan barisan Exco terikat kepada Enakmen PKNS dan mempunyai tanggungjawab untuk memperbetulkan sebarang kecacatan atau kesilapan yang berkaitan dengan perkara ini," ujarnya.

Abdul Khalid berkata demikian sebagai reaksi balas terhadap kenyataan Anwar hari ini bahawa pengguguran Azmin tidak sah kerana tidak mengikut prosedur.

Menurut Anwar bidang kuasa dalam menentukan pelantikan lembaga pengarah PKNS terletak kepada menteri besar dan Exco, bukannya pengurusan PKNS.

Terdahulu, PKNS menerusi satu kenyataan hari ini memberitahu keputusan untuk menamatkan khidmat Azmin dibuat oleh Mesyuarat Exco Selangor dan bukannya keputusan daripada kepimpinan tertinggi PKNS.

Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek berkata, jawatan Azmin ditamatkan melalui surat bertarikh 8 Januari lalu dan dibuat selaras dengan mesyuarat Exco pada 13 November dan disahkan pada 4 Disember tahun lalu.

Kontrak Azmin sepatutnya tamat pada 2015.

No comments: