Wednesday, January 29, 2014

Puad Zarkashi: BN tak perlu letak calon di Kajang

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) tidak wajar meletakkan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang ekoran pengunduran tidak berdemokratik penyandangnya Lee Chin Cheh.

Lee bertindak melepaskan jawatan beliau semalam untuk memberi laluan kepada Ketua Umum Pembangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding bagi kerusi tersebut.
Tindakan ini menghangatkan spekulasi bahawa Anwar bakal menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk jawatan menteri besar Selangor.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi membidas tindakan bekas Adun PKR itu yang disifatkannya sebagai satu pengkhianatan kepada pengundi Kajang.
“Sebab ini satu pembaziran dan perbuatan ini seperti menghina rakyat yang telah memilih kamu, rakyat yang sudah percaya dengan hujah-hujah kamu sebelum pilhan raya, tiba-tiba kamu meletakkan jawatan tanpa alasa yang jelas dan hanya mengikut telunjuk pemimpin kamu,” katanya apabila dihubungi FMT.
Beliau juga turut mencadangkan pemindaan akta pilihan raya supaya tidak dibenarkan mana-mana Adun untuk melepaskan jawatan sesuka hati tanpa alasan kukuh.
“Kalau boleh selepas ini, jika ada Adun yang meletakkan jawatan tanpa sebab, saya cadangkan supaya kerusi itu dibiarkan kosong sehingga pilihan raya umum akan datang.
“Biar rakyat sendiri yang menegur parti yang tidak bertanggungjawab tersebut,” katanya lagi.
Tambah Mohd Puad, ini bukan kali pertama seorang wakil rakyat PKR meletakkan jawatan tanpa sebab.
“Cara ini tak betul. Dulu di Permatang Pauh Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail beri laluan kepada Anwar, di Penanti tahun 2009 pun sama apabila Mohamad Fairuz Khairuddin melepaskan jawatan tanpa sebab. Begitu juga V. Arumugan di Bukit Selambau,” jelasnya lagi sambil menambah PKR telah mencipta rekod dunia apabila ramai wakil rakyatnya melepaskan jawatan setelah didesak oleh pimpinan parti.
Tambah Puad lagi, BN tidak wajar meletakkan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil ini nanti seperti yang dilakukan mereka dalam PRK Penanti pada 31 Mei 2009.
“Wajar bagi BN tak letak calon kerana ianya merupakan pembaziran, buang masa dan supaya rakyat nampak permainan politik PKR ini.
“Saya juga harap PAS dan DAP dapat nasihat PKR dan tegur pimpinan mereka,” kata beliau.
Mohd Puad bagaimanapun mengakui kerusi tersebut sukar direbut oleh BN lantaran ianya merupakan kubu kuat PKR.
“Memang agak sukar untuk BN menang di situ sebab ia kawasan campuran dan komposisi pengundinya juga lebih ramai bukan Melayu di sana
“Tapi Anwar sendiri tidak ‘gentleman’ sebab dia pilih untuk bertanding di Kajang dan bukan di kawasan yang majoritinya Melayu. Dia tak berani untuk paksa Adun PKR di kawasan majoriti Melayu lepaskan jawatan sebab kita lihat peratusan undian orang Melayu semakin meningkat kepada BN seperti di Kuala Besut dan juga Sungai Limau,” katanya.
Menurut Mohd Puad lagi, tindakan untuk tidak meletakkan calon ini sejajar dengan langkah penjimatan kerajaan.
“Ini bukan soal ‘test market’ untuk MCA di bawah pimpinan baru atau populariti bagi menyelamatkan imej mana-mana individu,” tegasnya.
Tambahnya lagi, tindakan Anwar ini seperti cuba menyelindungi isu kes liwat Anwar yang masih berlangsung.
“Anwar ini sedang hadapi kes mahkamah, mungkin dia rasa kalau jadi menteri besar boleh lindungi diri dia,” katanya.
Sementara itu Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali dalam satu kiriman SMS kepada FMT berkata perlu ada akta yang menentukan supaya mana-mana individu yang sedang menghadapi dakwaan jenayah yang sedang dibicarakan tidak boleh dilantik memegang jawatan tertinggi dalam negara dan di peringkat negeri.
“Memang seseorang (itu) tidak bersalah selagi belum dijatuhkan hukuman,tetapi jika akhirnya dia didapati bersalah yang boleh menyebabkan dia gugur sebagai ahli dewan, maka PRK terpaksa diadakan dan membazir wang rakyat.
“Rakyat sesebuah negeri atau negara tentu merasa malu apabila menteri besar atau perdana menterinya sedang di dakwa, apatah lagi kalau kes-kes jenayah besar, seperti rasuah dan liwat, bekas banduan yang bertahun di penjara. Lebih lagi kalau salah guna kuasa, legahkan bicara dan macam-macam hal,” katanya tanpa merujuk kepada Anwar

No comments: