Tuesday, January 7, 2014

STAR Sabah lupa tarikh lahirnya

PENAMPANG: Parti Pembaharuan Negeri (STAR) Cawangan Sabah lupa ulang tahun tarikh lahirnya pada 6 Januari, 2014.
Tiada tanda-tanda parti pimpinan Datuk Jeffrey Kitingan itu mengingati ulang tahunnya seperti tiga tahun dulu.
Pada 6 Januari, 2011, STAR Sabah dilancarkan dengan meriah dan penuh semangat sekali oleh kira-kira 4,000 penyokong di Hongkod Koisaan, Penampang.
Jeffrey ketika itu juga mengumumkan parti kelahiran Sarawak itu sudah mempunyai 60,000 ahli di Sabah hanya dalam masa tiga minggu sebelum ia dilancarkan dengan rasminya.

Semalam, enam bulan selepas pilihanraya umum Mei 2013, tiada siapa ingat atau mahu ingat tarikh lahir parti itu lagi. Tiada notis, tiada berita, malah tidak disebut langsung hal ulang tahun STAR hatta dalam portal parti itu sendiri.
Inilah yang dinamakan “mudah lupa”. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, harus dimaafkan kerana hanya menyebut “Melayu mudah lupa” sedangkan siapapun mudah lupa, tak kira apa bangsa, lebih-lebih lagi bila tiada lagi faedah yang kelihatan.
Beberapa minggu lalu pemimpin STAR yang jua kebetulan memimpin sayap NGO nya yang dipanggil United Borneo Front (UBF), melatah malah ada yang melenting bila FMT menyiarkan berita pendek UBF lupa tarikh lahirnya pada 16 Disember, tarikh keramat sempena peristiwa Boston Tea Party di Amerika Syarikat.
Tarikh 16 Disember juga merupakan ulang tahun rasmi STAR di Sarawak. Apabila Jeffrey memilih tarikh itu pada tahun 2011, Presiden STAR, Dripin Sakoi, juga amat gembira sebab tarikh itu juga merupakan ulang tahun ke-16 STAR ketika itu.
Pada majlis 16 Disember 2011 itu Dripin juga mengejutkan hadirin apabila mengumumkan penyertaan Jeffrey ke dalam STAR dan menyampaikan kad keahlian parti itu kepadanya dan empat orang lain iaitu Guandi Kohoi, Rubin Guribah, James Ait dan Jeffrey Telado.
Namun itu tiga tahun yang lepas. STAR turut menyambut ulang tahunnya pada tahun-tahun berikut namun hari ini pada 2014 ia sudah lupa dan melupakan tetapi tidak dilupakan.
Sebaik dikejutkan oleh laporan FMT baru-baru ini, dengan secepat kilat pihak UBF mengadakan sambutan ulang tahun terlambatnya di pejabatnya. Hanya beberapa orang hadir dan jika pun ramai yang hadir tak mungkin ruang pejabat seunit di tingkat tiga itu boleh memuatkan lebih dari 30 orang.
Nah ini dikatakan “biar lambat jangan tiada sama sekali”. Ucapan terima kasih harus diberi kepada FMT kerana mengingatkan, jikalau tidak, nescaya mereka lupa sampai bulan depan.
Jeffrey adalah Ahli Dewan Undangan Negeri tunggal parti STAR. Beliau menegaskan akan tetap bersama STAR selepas ini.

No comments: