Saturday, January 18, 2014

Thaipusam bukan lagi upacara keagamaan

Kemeriahan sambutan Thaipusam masih terasa. Seperti tahun-tahun sebelum ini, saya memilih untuk tidak ke Batu Caves atas alasan peribadi.

Sebaliknya, saya mengikuti segala perkembangan menerusi laman rangkaian sosial, khususnya Facebook yang kini sudah menjadi media penyampai maklumat terpantas berbanding media konvensional.
Hakikat yang boleh dipertikaikan tetapi tidak dapat dinafikan adalah bahawa sambutan Thaipusam – khususnya di Batu Caves – sudah menjadi pesta besar-besaran yang semakin tersasar daripada tujuan asal perayaan keagamaan itu.

Memandangkan tahun 2014 sudah diiktiraf sebagai Tahun Melawat Malaysia, tentulah sambutan Thaipusam dan Batu Caves dijadikan tempat “pesta” dan “tarikan” pelancong.
Kementerian Pelancongan pasti akan mengatakan bahawa rakyat Malaysia – khususnya kaum India dan penganut agama Hindu – perlu berbangga kerana patung Dewa Murugan setinggi 140 kaki di Batu Caves merupakan patung dewa Hindu yang kedua tertinggi di dunia.
Perhatikan bahawa saya menggunakan istilah “patung” dan bukannya “berhala”. Menurut penerangan dalam Kamus Dewan, “berhala” bermakna “patung-patung dewa yang dipuja oleh beberapa golongan bukan Islam” manakala “patung” pula “arca atau bentuk orang/binatang yang diukir daripada batu dan sebagainya”.
Sesungguhnya penjelasan ini adalah daripada segi istilah dalam konteks Bahasa Malaysia dan terpakai di Malaysia sahaja. Untuk memahami sepenuhnya perbezaan antara “berhala” dan “patung dewa”, seseorang perlu ada pengetahuan asas mengenai ikonografi.
Apa-apa pun, sepertimana saya paparkan menerusi Facebook pada 17 Januari 2014, tumpuan visual dan paparan visual berkaitan Thaipusam di Batu Caves kini sudah beralih kepada patung gergasi – bukan “berhala” atau “idol” – bercat emas (bukan diperbuat daripada emas!) di luar kuil.
Semoga patung dewa itu tidak mula disembah orang! Kebimbangan ini adalah amat berasas memandangkan ramai juga penganut Hindu yang pergi ke Batu Caves tidak memiliki pengetahuan agama dan pemahaman asas berkaitan ikonografi. Mereka adalah “Hindu ikut-ikutan”.
Asalkan ada patung menyerupai dewa Hindu, maka dianggap sebagai berhala yang layak disembah. Amalan ini sebenarnya bertentangan dengan “agama” (Bahasa Sanskrit, bukan Bahasa Malaysia) iaitu ajaran dan panduan yang terkandung dalam kitab-kitab Veda.
Cadangan MHS ditolak ‘Jabba’
Suatu lagi kebimbangan dalam kalangan pencinta agama Hindu dan golongan yang waras adalah apabila pihak pengurusan kuil yang diterajui oleh R Nadarajah meminggirkan peraturan dan garis panduan yang diperkenalkan oleh Malaysia Hindu Sangam (MHS).

Garis panduan itu antara lain menetapkan syarat bagi “kavadi”, cadangan pakaian yang sesuai serta melarang minuman beralkahol dan “vuvuzela” (alat bunyi yang popular sejak bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan).
MHS yang sudah sedia tidak bertaring dan tidak dihormati ramai khabarnya dibidas oleh Nadarajah yang mempersoalkan hak MHS menetapkan syarat dan peraturan berkenaan.
Malah bekas presiden MHS, A Vaithilingam dikutuk oleh Nadarajah sebagai “orang tua yang tak ada tenaga untuk berjalan pun”. Nadarajah pula mula digelar sebagai “Jabba” di ruang siber sempena watak dalam filem Star Wars.
Dalam segala kekalutan ini yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penganut Hindu, kita perlu juga faham bahawa Thaipusam turut menarik minat dan perhatian masyarakat Bukan Hindu dan Bukan India.
Marina Mahathir, misalnya, tidak lupa mengucapkan “Happy Thaipusam everyone” menerusi Facebook. Susulan ucapan itu, seorang individu bernama Mythili Slp memberikan maklum balas secara sopan: “Maaf, kami (Hindu) tidak menyambut/meraikan Thaipusam. Sebaliknya ia upacara keagamaan bagi membayar nazar kepada Dewa Murugan”.
Marina menerima teguran itu secara positif dan bertanya apakah bentuk “ucapan” yang lebih sesuai, wajar dan tepat. “Semoga nazar anda tertunai?” Marina mencadangkan.
Pada saya, dialog antara mereka berdua adalah amat positif dan membina. Malah, menjurus kepada usaha memupuk persefahaman, teguran membina, saling menghormati dan berkongsi maklumat.
Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan “Konvoi Rumah Ibadat” ke rumah-rumah ibadat pelbagai agama sejak 2010. Salah satu objektif adalah untuk membantu masyarakat saling memahami agama orang lain supaya boleh hidup harmoni.
Gunakan peluang membimbing orang ramai
Namun begitu, perlu juga diakui bahawa ada individu yang tidak bersetuju dengan komen Mythili. Alasan yang diberikan adalah bahawa sambutan Thaipusam memang suatu upacara gembira (“happy”) dan tidak salah jika “Happy Thaipusam” diucapkan.

Tanpa menafikan hakikat “gembira” yang dialami pihak tertentu, saya memilih untuk menyokong Mythili yang bersikap lebh matang dan mahu membimbing orang ramai lebih memahami semangat sebenar Thaipusam.
Dalam suatu catatan di blog, saya pernah menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan gambaran negatif mengenai Thaipusam yang disajikan menerusi sebuah makalah dalam majalah Dewan Budaya (Mac 2012) terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sebaliknya, rujukan yang sesuai bagi mendapatkan maklumat betul adalah menerusi makalah bertajuk “Keunikan Perayaan Thaipusam” tulisan P Thiruselvam di majalah Dewan Budaya (Jun 2012). Tentu sahaja makalah itu diusahakan oleh Kavyan bagi “membetulkan” kesalahan maklumat dalam makalah terdahulu.
Pada 1 Februari 2012, saya diundang ke studio TV Selangor dan diwawancara secara santai oleh Zubli Zainordin untuk berkongsi maklumat asas berkenaan sambutan keagamaan itu bersama khalayak pelbagai kaum dan agama.
Saya turut menulis sebuah artikel ringkas untuk siaran di sebuah portal berita dalam talian beberapa hari kemudian serta didokumentasikan di blog saya sebagai rujukan umum.
Sesungguhnya sambutan Thaipusam di Batu Caves amat kalut dan terbabas daripada tujuan asal yang ditetapkan dan diterapkan dalam agama Hindu. Malangnya hanya mereka yang tahu mengenai tujuan sebenar Thaipusam akan memahami hakikat ini.
Rungutan yang timbul sejak beberapa tahun lalu adalah mengenai tindakan pihak tertentu menggantungkan kelapa dan durian menggunakan cangkuk pada badan sebagai cara membayar nazar.

Begitu juga dengan perbuatan berjalan di atas barisan parang tajam. Semua ini khabarnya masih berleluasa tanpa kawalan pada Thaipusam kali ini; khususnya selepas Nadarajah menolak bulat-bulat garis panduan yang dicadangkan oleh MHS.
Berdasarkan paparan di Facebook, kavadi paling “unik” pada tahun ini adalah kavadi yang dibuat khusus untuk memuja seorang “dewa” bernama Balakrishnan Vellasamy yang digelar para pengikutnya sebagai “Datuk Seri Guruji” sambil melaungkan slogan “Yoga Jnana Sitthar Om Sri Raja Yoga Guru Saranam”.
Seorang lagi idola yang khabarnya menjadi pujaan Nadarajah, MIC dan pihak pengurusan kuil di Batu Caves adalah seorang “dewa” bernama Datuk Seri Najib Tun Razak yang nampaknya muncul pada tahun ini tanpa diiringi pasangan “dewi” anggun, Datin Seri Rosmah Mansor.
Para penganut Hindu yang tahu “agama” (Bahasa Sanskrit) usah terkejut sekiranya semasa sambutan Thaipusam pada tahun hadapan, patung dan berhala di Batu Caves sudah digantikan dengan “dewa-dewi” yang “maha berkuasa” ini.
Selamat Menyambut Thaipusam dan Tahun Melawat Malaysia.
Uthaya Sankar SB memblog di www.uthayasb.blogspot.com

No comments: