Friday, February 28, 2014

Melayu Jadi Ketua Menteri Sarawak - Satu Persoalan


Sebentar tadi selesai sudah upacara mengangkat sumpah Ketua Menteri Sarawak yang baru, Tan Sri Adenan Satim di Istana Negeri.  Dalam sejarah yang panjang sejak 50 tahun penubuhannya, ini baru kali kelima Sarawak menerima Ketua Menteri yang baru.

Maklum sajalah, bekas Ketua Menteri, Tan Sri Taib Mahmud saja sudah jadi Ketua Menteri selama 31 tahun - rekod Malaysia sudah pasti, rekod dunia belum tentu.

Perubahan ini memang baik, bila sudah lama sangat di satu-satu jawatan, orang yang dulu suka amat sangat pun, boleh naik menyampah berkali-kali ganda.

Adenan Satim ini pun silap-silap tak lama jadi Ketua Menteri, dengan sakit jantung dan pelbagai penyakit yang lain dihidapinya, tak berapa lagi dia akan mati, dan Sarawak akan menerima Ketua Menteri yang baru - sekali lagi.

Tapi aku bukan nak kata yang itu, aku nak persoalkan disini wajarkah seorang yang berketurunan Melayu seperti Adenan dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak - sebuah negeri dengan populasi 50% orang Iban.

Sudahlah Taib keturunan Melanau, yang ganti pula keturunan Melayu (lebih kurang), bila akan sampai giliran suku kaum lain pula yang dilantik menjadi Ketua Menteri di negeri paling besar dalam negara kita ini?

Di Malaysia, Melayu sudah pegang terlalu banyak kuasa.  Agong Melayu, PM Melayu, TPM pun Melayu, Menteri Kabinet pun majoriti Melayu, 3 dari kalangan 10 orang terkaya di Malaysia pun Melayu (dulu 1).

Nak jadi Ketua Menteri Sarawak pun Melayu juga?

Maka itu perlu ada perubahan, dalam pilihanraya negeri yang akan datang, rakyat Sarawak perlu memilih Pakatan Rakyat kerana sudah pasti orang Cina dari parti DAP akan dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak yang baru.

Ini berdasarkan jumlah kerusi DUN parti DAP yang jauh lebih banyak dari kerusi DUN parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang lain.  Walaupun dalam pilihanraya negeri ke-10 pada 2011, konsensusnya ialah melantik Baru Bian (Iban) sebagai Ketua Menteri baru, tapi sudah banyak yang berubah.

Baru Bian bukan lagi calon yang sesuai kerana Pakatan Rakyat perlu berpegang kepada prinsip parti yang mendapat kerusi terbanyak di DUN Sarawak akan dilantik menjadi Ketua Menteri, dan dalam hal ini, DAPlah yang paling layak.

Menurut tinjauan terbaru yang dijalankan Pakatan Rakyat, Baru Bian pun mungkin gagal mengekalkan kerusi tersebut, jika BN dibawah kepimpinan Adenan Satim nanti meletakkan calon anak muda dari kalangan golongan professional.

Kesimpulannya, kalau nak menghadkan kuasa Melayu, Pakatan Rakyat adalah pilihan terbaik.