• N SurendranNaib Presiden PKR, N Surendran
 1 / 1 
PETALING JAYA - PKR mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengarahkan kerajaan memberikan akses media dan hak siaran sama rata kepada parti tersebut menjelang PRK Dun Kajang bulan depan.

Naib Presidennya, N Surendran berkata, SPR mempunyai hak untuk mengarahkan media kerajaan memberikan slot siaran kepada pembangkang semasa tempoh berkempen di PRK Dun Kajang.
“PKR diserang dengan bertalu-talu ketika ini yang mana kita tiada hak untuk menafikannya di stesen televisyen, radio mahupun akhbar.

“SPR pula dilihat hanya mendiamkan diri walaupun mereka mempunyai hak di bawah perlembagaan persekutuan untuk mendesak memberi akses media kepada PR,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, semalam.


Menurutnya, kerajaan melakukan kesalahan dengan menggunakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk kepentingan mereka sedangkan RTM adalah hak milik rakyat.

“Stesen milik kerajaan itu dibiayai melalui wang pembayar cukai yang seharusnya turut memberikan liputan adil kepada PR.

“Namun apa yang berlaku kini apabila pemimpin Umno menguasai RTM biarpun ia mengetahui segala perbelanjaan datangnya daripada duit rakyat maka ini adalah kes pecah amanah,” dakwanya.

Dakwa Surendran lagi, PKR tidak mempunyai akses media yang adil, sebaliknya media sering menghentam parti tersebut.

“Jika akses media ini tidak diberikan maka tidak ada istilah pilihan raya adil dan bersih pada PRK Kajang kali ini," katanya.