Wednesday, February 12, 2014

Polis siasat kempen Anwar

  • Anwar Ibrahim Anwar Ibrahim
 1 / 1 
SHAH ALAM - Polis akan memanggil penganjur kempen membabitkan calon PRK Dun Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu siasatan kerana gagal mengemukakan makluman awal kepada polis sebelum berkempen.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata,  tindakan itu diambil susulan tiga kertas siasatan yang dibuka polis kerana melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu  gagal memberikan notis 10 hari sebelum berkempen.

“Kita akan panggil penganjur  termasuk  calon terbabit untuk beri keterangan dalam waktu terdekat,”katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Jelasnya setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang notis pemberitahuan berhubung beberapa kempen yang diadakan di kawasan Dun berkenaan  baru-baru ini.

Menurutnya  polis akan melakukan siasatan secara menyeluruh di bawah Seksyen  9 (5) akta berkenaan.

Sinar Harian hari ini melaporkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan bakal calon PRK Dun Kajang tidak berkempen awal sebelum penamaan calon bermula 11 Mac ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata, mereka yang memulakan kempen lebih awal boleh dikenakan tindakan dan didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau berkata, kempen sebelum penamaan calon tidak termasuk dalam kesalahan pilihan raya di bawah Akta Kesalahan Pilihan raya 1954.

No comments: