Monday, February 10, 2014

PRK Dun Kajang: BN tiada modal

  • Wan Sukairi Wan AbdullahWan Sukairi Wan Abdullah
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU –  Isu pengkhianatan PR terhadap rakyat dan sistem demokrasi negara yang mungkin ditimbulkan BN dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang dianggap belum cukup kuat untuk melemahkan kedudukan PKR di kerusi tersebut.

Pengarah Penerangan Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, rakyat sudah faham bahawa ia bukan kali pertama berlaku di Selangor, sebaliknya keadaan hampir serupa pernah berlaku ketika zaman pentadbiran BN di negeri itu.

Yakin potensi kemenangan lebih cerah di pihak PR, beliau sebaliknya menegaskan isu tersebut sudah pasti akan tenggelam kerana rakyat sedang marah kepada BN ketika ini terutama kenaikan harga barang walaupun kerajaan telah menangguhkan kenaikan harga tol.


“Rakyat sebenarnya marah dengan kenaikan harga barang, tarif elektrik dan tol walaupun berlaku penangguhan kenaikan harga tol, kemungkinan ia akan dinaikkan sebaik sahaja selesai PRK,” katanya.

Beliau sehubungan itu menjelaskan bahawa BN kekeringan modal untuk melumpuhkan kedudukan PKR di Dun Kajang.

Jelasnya, berdasarkan kemenangan besar diperoleh PKR dengan kelebihan majoriti 6,824 undi pada PRU13 lalu, BN dilihat menghadapi laluan sukar untuk menggugat kedudukan parti lawan khususnya PKR.

Mengulas sama ada calon PKR dalam PRK kali ini mampu mengatasi undi PRU13 atau tidak, Wan Sukairi yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Terengganu menganggap ia bukan keutamaan, sebaliknya perkara mustahak adalah memastikan kerusi berjaya dikekalkan.

Beliau berkata, undi yang bakal diperoleh juga bergantung kepada beberapa perkara, sebagaimana isu-isu yang berlaku dalam beberapa PRK sebelumnya.

Antaranya beliau berkata, pengundi yang tidak pulang mengundi dan juga mereka yang menganggap pilihan raya berulang tidak begitu penting, turut menjadi sebab berkurangnya undi majoriti dalam PRK.

“Ada juga seorang dua yang mungkin terpengaruh dengan kerajaan menyebabkan undi kurang. PRK berbeza dengan PRU kerana PRK ini kita berlawan dengan jentera kerajaan dan serangan yang diterima sangat besar.

“Oleh itu, menjadi kebiasaan dalam PRK sama ada mengekalkan majoriti yang lama atau mendapat kurang majoriti daripada sebelumnya. Kalau menang dengan majoriti undi 2,000 pun, mungkin dalam pilihan raya kecil mendapat kurang daripada itu. Itu adalah biasa,” katanya.

No comments: