Saturday, February 1, 2014

Sekolah jadi pusat guruji?

Ternyata selain daripada watak Datuk Guluji (bukan nama sebenar), ada beberapa lagi ‘guruji’ yang menyebarkan ajaran (yang disyaki menyesatkan) kepada masyarakat India di negara ini.

Makalah yang saya tulis sebelum ini mengenai golongan berkenaan adalah secara khusus berkaitan Datuk Guluji (FMT, 2 Disember 2013 dan 25 Januari 2014).
Sejak itu, ramai yang menghubungi saya untuk berkongsi pengalaman dan kisah peribadi. Ternyata Datuk Guluji tidak sendirian dalam usaha memanipulasi masyarakat.

Baru-baru ini, sekumpulan ibu bapa dari sekitar Serdang, Selangor meluahkan kekecewaan berkenaan apa yang sedang berlaku di sebuah sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan itu.
Bercakap tentang SJKT, memang pelbagai kempen dilakukan bagi menggalakkan ibu bapa kaum India – termasuk golongan India-Muslim – menghantar anak-anak mereka ke sekolah bahasa ibunda.
Sekumpulan ibu bapa yang saya temui juga mengakui bahawa mereka menaruh kepercayaan terhadap SJKT. Mereka berpendirian bahawa SJKT merupakan salah satu cara bagi mengekalkan bahasa dan budaya Tamil di negara ini.
“SJKT juga menjadi tempat untuk memupuk asas agama yang kukuh dalam jiwa kanak-kanak,” kata seorang bapa sambil dipersetujui oleh ibu bapa lain.
Akan tetapi, mereka meluahkan rasa kecewa apabila golongan guru dan guru besar di sebuah SJKT sekitar Serdang seolah-olah membiarkan “ajaran sesat” disebarkan secara terang-terangan di sekolah berkenaan.
Tentu sahaja saya berminat untuk tahu kisah lanjut. Seperti biasa, golongan ibu bapa berkenaan meminta identiti mereka dirahsiakan kerana bimbang akan keselamatan anak-anak yang masih belajar di sekolah berkenaan.
“Saya terperanjat sama sekali pada hari pertama persekolahan (2 Januari 2014) apabila berdiri di luar kelas anak saya dan ternampak poster seorang guruji ditampalkan pada kertas manila dan dilekatkan pada papan kenyataan di hadapan kelas, bersebelahan papan hitam,” seorang ibu kepada murid Tahun Satu sekolah berkenaan menceritakan.
Beberapa ibu bapa mengesahkan bahawa mereka telah segera melaporkan perkara itu serta meluahkan rasa tidak selesa berikutan kehadiran poster itu kepada guru besar SJKT berkenaan.
Salah seorang bapa menunjukkan foto yang dirakam menggunakan telefon bimbit. Katanya, poster berkenaan adalah keratan iklan seorang lelaki (guruji) dari sebuah akhbar Tamil.
Guru besar sedia maklum tentang tindakan guru
“Kami segera membawa perkara ini kepada perhatian tuan guru besar yang juga merupakan orang kuat dalam Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Tamil Malaysia. Kami beranggapan mungkin beliau tidak tahu tentang perbuatan guru kelas menampal poster seorang guruji di kelas,” seorang wanita menghuraikan.
Hasil maklumat berdasarkan cerita yang disampaikan oleh kumpulan ibu bapa ini, guru besar berkenaan nampaknya agak keberatan untuk memberikan kata putus berhubung isu yang diketengahkan.
“Selepas kami mendesak supaya perkara itu tidak dibiarkan begitu sahaja memandangkan terdapat pelbagai laporan di media tentang pelbagai kumpulan ajaran sesat, akhirnya guru besar berjanji akan menyelesaikan masalah itu,” kata seorang bapa.
Khabarnya guru besar itu sedia maklum bahawa guru kelas terbabit adalah pengikut seorang guruji. Malah beliau juga seolah-olah memang sudah tahu serta bagaikan merestui tindakan guru wanita itu menampal poster guruji berkenaan di kelas.
Kumpulan ibu bapa yang saya temui juga menjelaskan bahawa mereka telah memaklumkan perkara itu kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta mengharapkan penyelesaian terbaik.
“Kami tidak menghalang guru wanita itu jika beliau mahu menjadi pengikut mana-mana guruji kerana itu adalah hak peribadi. Masalahnya adalah apabila dia secara terang-terangan cuba menyampaikan ajaran guruji itu kepada murid-murid,” kata seorang ibu yang anaknya turut belajar di kelas sama.
Selepas membuat aduan kepada guru besar dan pihak PIBG, kumpulan ibu bapa terbabit telah mengharapkan masalah diselesaikan secara baik.
Akan tetapi, menjelang hujung Januari 2014, ternyata poster berkenaan masih dipamerkan di tempat yang sama. Malah nampaknya guru kelas berkenaan sudah mula menjadi semacam “agen” kepada guruji terbabit.
“Baru-baru ini, semasa kami sekeluarga bersembahyang di rumah, anak saya (murid kelas berkenaan) melafazkan suatu mantera yang memuja-muja guruji terbabit. Kami terkejut dan terperanjat kerana tidak seorang pun ahli keluarga yang mengikuti ajaran mana-mana guruji, apatah lagi guruji yang diragui kredibilitinya,” kata seorang lagi bapa.
Apabila ditanya, maka terbongkarlah rahsia bahawa guru kelas itu memulakan kelas pada setiap pagi dengan mengucapkan mantera si guruji. Bukan setakat itu, guru wanita itu juga meminta murid-murid menghafaz serta mengulangi mentera itu setiap hari.
Menurut maklumat yang disampaikan kepada saya oleh kumpulan ibu bapa berkenaan, mantera yang memuja-muja seorang guruji tertentu juga menjadi amalan dan kebiasaan di SJKT berkenaan yang terletak di sekitar Serdang.
Khabarnya, pada majlis penyampaian hadiah dan hari-hari sambutan lain, guru-guru yang menjadi pengikut guruji tersebut akan membacakan mantera puja-pujaan itu dan meminta semua murid sama-sama mengulangi mantera berkenaan.
Mantera guruji boleh bantu murid cemerlang
Saya memang sudah banyak mendengar berita bahawa golongan guruji yang diragui kredibiliti ini sering menjadikan guru-guru SJKT sebagai sasaran untuk menjadi pengikut. Kemudian, mereka pula akan “mengajar” (menghasut?) murid-murid secara halus untuk menjadi pengikut ajaran guruji.
“Anak-anak kami masih berada di sekolah rendah dan mengikut undang-undang, ibu bapa dan penjaga berhak menentukan soal agama mereka. Maka, kami amat kecewa dengan tindakan guru SJKT yang menyebarkan ajaran bertentangan dengan ajaran sebenar Hindu kepada anak-anak kami,” keluh seorang bapa.
Beberapa ibu bapa menceritakan bahawa ada juga guru SJKT itu menghubungi mereka dan memujuk supaya menjadi pengikut guruji berkenaan.
Antara alasan yang diberikan adalah bahawa jika seluruh keluarga sudah menjadi pengikut guruji, maka lebih mudah untuk anak-anak melakukan meditasi dan melafazkan mantera memuja-muja guruji itu di rumah.
Amat melucukan juga apabila khabarnya ada guru sekolah itu yang mengatakan bahawa guruji yang mereka puja boleh membantu anak-anak cemerlang dalam peperiksaan dengan hanya perlu melafazkan mentera memuja-muja guruji berkenaan.
Sementara masing-masing ibu bapa bersemangat untuk meluahkan kekecewaan dan bantahan mereka terhadap apa yang berlaku, saya bertanya lagi tentang tindakan yang diambil oleh guru besar dalam hal ini.
Menurut sumber, guru besar berkenaan sebelum ini menjadi guru besar di sebuah SJKT sekitar Kajang. Ibu bapa di sekolah itu pula khabarnya mendesak beliau ditukarkan kerana dipercayai terlibat dalam beberapa isu berkaitan etika dan wang.
Hasil maklumat yang diberikan oleh ibu bapa sekitar Serdang, ternyata langkah susulan yang diambil oleh lelaki terbabit tidak sedikit pun membantu menyelesaikan masalah berkaitan poster guruji di kelas.
“Saya amat kecewa dengan japawan yang diberikan oleh guru besar. Katanya, ini adalah hal pengurusan sekolah dan ibu bapa serta PIBG tidak boleh masuk campur,” seorang ibu meluahkan.
Guru besar itu juga khabarnya telah memberikan reaksi bahawa sekiranya aduan diterima daripada ibu bapa, tidak semestinya tindakan diambil jika aduan itu tidak munasabah.
Maknanya, aduan mengenai penyebaran ajaran guruji (yang dikhuatiri mungkin ajaran sesat) dianggap oleh orang kuat Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Tamil Malaysia itu sebagai tidak munasabah.
Puja guruji selaras prinsip Rukun Negara’
“Guru besar juga bertanya kembali kepada kami apakah menjadi kesalahan jika seseorang guru mahu mempercayai seorang guruji. Tentu sahaja kami terkejut kerana apa yang menjadi persoalan kami adalah apabila guru itu menyebarkan ajaran guruji kepada murid-muridnya,” kata seorang bapa.
Khabarnya, guru besar itu memberikan alasan bahawa anak-anak memang wajar diajar menghormati “guru” (guruji) selaras dengan budaya India yang memberikan penghormatan tinggi kepada ibu, bapa, guru dan Tuhan.
“Tuan guru besar juga memberikan alasan bahawa apa yang dilakukan oleh guru kelas itu adalah selaras dengan prinsip pertama Rukun Negara iaitu ‘Kepercayaan kepada Tuhan’. Saya terdiam mendengar alasan yang kurang cerdik itu,” seorang penjaga berkongsi kisah.
Guru besar itu juga khabarnya memberikan amaran kepada kumpulan ibu bapa terbabit supaya “jangan bawa perkara yang remeh-temeh dan membuang masa”.
Apabila ditanya mengenai pendirian beliau berhubung poster seorang guruji yang dilekatkan di kelas, guru besar itu dipetik sebagai berkata:
“Ya, saya berjanji kepada anda pada awal tahun bahawa saya akan menyelesaikan masalah itu. Saya tidak pernah berjanji akan memastikan poster guruji ditanggalkan. Inilah keputusan rasmi pihak sekolah. Anda semua sebagai ibu bapa dan penjaga perlu akur pada keputusan sekolah.”
Para ibu bapa terbabit tidak dapat menerima alasan yang diberikan oleh guru besar tersebut. Mereka tidak mahu sekolah dan kelas dijadikan pusat penyebaran mana-mana ajaran; apatah lagi ajaran yang diragui.
“Apakah tindakan yang boleh kami ambil sebagai ibu bapa yang prihatin dan mahu memastikan anak-anak kami tidak menjadi mangsa mana-mana guruji palsu dan ajaran sesat?”
Sebagai seorang penulis sepenuh masa dan perunding media, saya mendengar segala luahan perasaan kumpulan ibu bapa berkenaan dan berjanji akan cuba mengetengahkan masalah mereka kepada umum.
Mungkin selepas ini saya akan menghubungi guru besar dan Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan yang terletak di sekitar Serdang untuk mendapatkan maklum balas.
Sementara itu, mungkin juga jabatan pendidikan daerah dan kementerian pelajaran boleh melakukan siasatan segera sebelum lebih banyak SJKT menjadi pusat menyebaran ajaran golongan guruji.

No comments: