Wednesday, March 26, 2014

13 buah parti baru di Sabah diluluskan

 Teresa Kok


PETALING JAYA: Sebanyak 22 buah parti politik telah didaftarkan secara sah oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia(JPPM) selepas Pilihan Raya Umum ke-13 sehingga bulan Disember 2013.

Menurut Menteri Dalam Negeri , Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, terdapat empat parti politik yang didaftarkan di Semenanjung Malaysia.

“Parti Nasional Malaysia telah didaftarkan di Negeri Johor, Parti Nasional Penduduk Malaysia pula telah didaftarkan di Negeri Sembilan, manakala Parti Keadilan India Malaysia telah didaftarkan di Selangor, dan Parti Generasi Baru telah didaftarkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,”katanya secara bertulis menjawab soalan ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Katanya lagi, bagi Negeri Sabah pula, terdapat 13 buah parti politik telah didaftarkan oleh JPPM.

“Parti Bersatu Bugis Sabah, Parti Cina Sabah, Parti Damai Sabah, Parti Ekonomi Rakyat Sabah, Parti Gagasan Bersama Rakyat Sabah, Parti Kebangsaan Sabah, Parti Kebenaran Sabah, Parti Pembangunan Warisan Sabah, Parti Sejahtera Angkatan Perpaduan Sabah, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu, Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah dan Parti Perpaduan Rakyat Sabah, serta Parti Kerjasama Rakyat Sabah,”ujarnya.

Manakala, tambahnya lagi, lima buah parti politik telah berjaya didaftarkan di Sarawak secara sah.

“Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru, Parti Bumi Kenyalang, Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu dan Parti Rakyat gabungan Jaksa Pendamai serta Parti Tenaga Rakyat Sarawak,” jelasnya.