Menurut bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, mereka perlu mengajar kerajaan BN kerana tidak membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dengan memberi kemenangan dengan majoriti yang lebih besar kepada calon PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Percayalah. Jika kita menangi Kajang, ia adalah langkah kita menawan Putrajaya pada PRU akan datang,” kata beliau ketika berkempen di markas PKR di Kantan Permai di sini malam tadi.
Beliau yang merupakan ahli PAS berkata kita kena ubah kerajaan pusat kerana tidak mahu Perdana Menteri kita duduk di bawah ketiak isteri.
“Saya kenal lama Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak tahun 60an lagi ketika beliau belajar di universiti. Beliau tidak akan duduk di bawah ketiak isteri seperti mana Datuk Seri Najib duduk di bawah ketiak Rosmah,” katanya sambil disambut gelak ketawa para penyokong PKR.
Beliau yang juga bekas Naib Presiden Umno itu percaya ujian yang menimpa Anwar sekarang akan berakhir tidak lama lagi.
“Mereka takut dengan Anwar kerana Anwar bekas timbalan perdana menteri dan bekas menteri kewangan. Sebab itu mereka sekat Anwar dengan menggunakan mahkamah yang berat sebelah. Walaupun Anwar disekat, rakyat Kajang akan beri kemenangan yang lebih besar kepada Wan Azizah,” tegasnya lagi.
Selepas bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor itu menyertai PAS pada tahun 2013, kerusi PAS bertambah di Selangor. Ini diakui bekas ADUN Umno di Selangor yang menyifatkan kerusi PAS bertambah di negeri itu kerana pengaruh Muhammad Muhd Taib.
Pada pilihanraya umum 2013, di pusat daerah mengundi Kantan Permai, PKR menang dengan majoriti 80 undi. Dengan datangnya bekas Menteri Besar Selangor itu berkempen di Kantan Permai, pemerhati politik percaya PKR akan menang di situ dengan majoriti yang lebih besar pada 23 Mac ini.