Friday, March 14, 2014

Jingga 13 sokong pencalonan Wan Azizah


  • Fariz Musa
 1 / 1 
KUALA TERENGGANU - Jingga 13 Malaysia menyokong sepenuhnya pencalonan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang.

Ketua koordinatornya, Fariz Musa yakin, Wan Azizah mampu membawa kemenangan dan berkhidmat dengan lebih baik kepada rakyat di Dun Kajang serta berupaya membawa suara rakyat kawasan itu dalam sidang Dun Selangor.
Menurutnya, realitinya di bawah kepimpinan Wan Azizah juga, PKR mampu bangkit sehingga digeruni pihak lawan.

“Kepimpinan beliau tidak dapat disangkal lagi sebagai Presiden PKR sejak penubuhannya pada 4 April 1999 sehingga sekarang. Beliau merupakan wanita pertama dalam sejarah negara menerajui sebuah parti sehingga meletakkan PKR sebagai sebuah parti yang hebat dan digeruni oleh Umno BN,” katanya, di sini.


PRK Dun Kajang bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari PKR.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman mengumumkan nama kedua-dua calon itu sebagai layak bertanding di kerusi tersebut, Selasa lalu.

Wan Azizah sebelum ini diumumkan menggantikan suaminya yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di kerusi Dun Kajang selepas Anwar hilang kelayakan bertanding saat akhir selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mengulas lanjut, Fariz turut yakin sikap lemah lembut Wan Azizah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dengan sikap keibuan dan konsisten dalam memperjuangkan kepentingan rakyat sudah pasti mampu memimpin rakyat Kajang.

Beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan PKR Pusat berkata, Wan Azizah juga seorang wanita yang tabah dalam mengharungi cabaran dan musibah yang menimpa suaminya.