KAJANG - Pakatan Rakyat (PR) mendakwa insiden penggodaman telefon bimbit 11 pimpinan mereka termasuk petugas jentera PRK disyaki dilakukan pihak tertentu untuk melaga-lagakan komponen dalam PR.
Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, situasi ini jelas menggambarkan strategi jahat pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan.
“Kami gesa siasatan terperinci dilakukan pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat pengendali rangkaian telefon bimbit serta kandungan mesej yang dikirim spesifik kepada perjalanan PRK Kajang.
“Kesemua mesej dikirim kepada pengundi Kajang, isu pilihan raya dan kita syak ada pihak yang dapat untung daripada perbuatan ini. Dengan tujuan menakutkan pengundi Kajang, kita gesa perbuatan jijik ini dihentikan serta-merta,” katanya pada sidang media, semalam.
Sementara itu, Fuziah memaklumkan majoriti penerima mesej godam berkenaan terdiri daripada pengundi Melayu Kajang.
“Kiriman-kiriman berkenaan berbaur hasutan dan rasis.
“Ia mendakwa wujud pertelingkahan dalam komponen PR. Digambarkan kami bergaduh sesama sendiri dan kita yakin perang psikologi bertujuan mencemarkan kempen PRK,” katanya.
Fuziah menegaskan, sekiranya laporan polis dan SKMM tidak berkesan, ini sebagai petanda referendum untuk ubah kerajaan wajar dilakukan membuktikan penolakan kepada politik kotor.