Walaupun Pengerusi DAP, Karpal Singh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM 4,000 kerana kesalahan dibawah Akta Hasutan oleh Mahkamah Tinggi sebentar tadi, keputusan itu bukan bermaksud status beliau sebagai Ahli Parlimen sudah gugur dengan sendirinya.
Ini kerana, Karpal masih mempunyai satu lagi peluang untuk merayu, iaitu di peringkat Mahkamah Rayuan. Jika rayuan itupun ditolak, barulah status Karpal sebagai Ahli Parlimen, gugur.
Keputusan ini adalah cubaan kali kedua UMNO/BN untuk menjatuhkan moral pimpinan Pakatan Rakyat dalam tempoh kurang 1 minggu.
Setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara selama 5 tahun kerana kononnya meliwat Saiful Bukhari Azlan secara paksa, kini giliran Karpal pula menerima nasib yang hampir sama.
Kebetulan atau apa, Karpal ialah peguam yang mengetuai pasukan pembelaan Anwar dalam kes fitnah liwat 2.
Walaupun Karpal sekadar didenda pada jumlah yang terlalu kecil, RM 4,000, tapi kesan daripadanya ialah beliau boleh kehilangan kerusi Parlimen yang disandangnya sekarang.
Pakatan Rakyat bagaimanapun berpandangan, sama ada Karpal hilang status sebagai Ahli Parlimen atau tidak bukanlah satu persoalan sebab jika diadakan pertandingan di Bukit Gelugor pada waktu ini pun, kemenangan sudah pasti milik DAP.
Isunya sekarang ialah Karpal perlu dikekalkan dengan jawatan itu, tidak kira apa kerana rakyat masih memerlukan khidmat beliau, terutama dalam soal yang berkaitan dengan pertikaian undang-undang.
Anak-anaknya seperti Jagdeep Singh Deo, Ramkarpal dan Gobind Singh, memang diakui sudah mencapai taraf peguam hebat, tapi masih jauh jika nak dibandingkan dengan pengalaman dan kebolehan Karpal.
UMNO masih boleh mencuba apa saja langkah untuk mematikan perjuangan politik Karpal tapi percayalah, ada lebih ramai Karpal Singh di luar sana yang boleh menggantikan tempat beliau pada bila-bila masa.