Tuesday, March 25, 2014

Laluan sukar realisasi 'Kajang Move'

  • Mohd Fuad Mat JaliProf Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali
 1 / 1 
SHAH ALAM – PR berdepan laluan sukar untuk merealisasikan 'Kajang Move' ke Putrajaya biarpun memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, Ahad lalu.
Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali berkata, undi PKR yang menurun menunjukkan rakyat kurang berminat dengan percaturan di sebalik PRK tersebut diadakan.

“Sekiranya PKR mendapat sokongan luar biasa, mungkin slogan 'Kajang Move' yang dicanangkan diterima oleh rakyat. Bagaimanapun, kajian mendapati ramai yang enggan keluar mengundi kerana tidak bersetuju dengan cara PKR.

“Ini satu permulaan yang tidak berapa baik untuk Kajang Move. PR pastinya berdepan masalah untuk memastikan kejayaan laluan ke Putrajaya,” katanya semalam.


Mengulas lanjut, katanya, matlamat 'Kajang Move' juga seolah-olah sudah tersasar apabila Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bertanding di Kajang sebaliknya digantikan dengan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.  

“Momentum 'Kajang Move' akan berterusan tetapi proses ini ambil masa lama. Kemungkinan strategi Kajang Move akan diubah, tetapi tidak secara drastik.

“Banyak faktor yang perlu dipertimbangkan semula PKR seperti sokongan rakyat dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kejayaan di Kajang tidak menggambarkan ukuran sebenar sokongan untuk PR menakluk Putrajaya.

“Kajang hanya satu kerusi Dun, sedangkan mereka memerlukan sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen untuk ke Putrajaya. Saya merasakan 'Kajang Move' sebagai terlalu awal dan tidak realistik pada masa kini,” katanya.