Teori yang mengatakan juruterbang penerbangan MH 370 yang hilang sejak lebih seminggu lepas, Kapten Zaharie Ahmad Shah mensabotaj pesawat itu kerana kecewa setelah Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara semakin kuat kedengaran sekarang.
Bukan sahaja media dalam negara, media luar negara pun nampak diberi upah untuk memainkan sentimen yang hampir sama - Zaharie taksub kepada Anwar dan oleh itu berkemungkinan mensabotaj pesawat itu sebagai tanda protes.
Dengan semua maklumat setakat ini menunjukkan kehilangan pesawat itu disebabkan oleh tindakan seseorang di dalam kokpit pesawat yang menutup transponder, sistem komunikasi dan sebagainya, menyemarakkan lagi sentimen tersebut.
Sementara Anwar dan Pakatan Rakyat menafikan sebarang kaitan dengan insiden tersebut, aku berpandangan, kalau pun benar pesawat ini hilang disebabkan oleh kecenderungan politik juruterbang pesawat, pihak yang patut dipersalahkan ialah UMNO/BN, bukannya Pakatan Rakyat.
Ini kerana UMNO/BNlah yang menyebabkan kekecewaan tersebut apabila memutuskan untuk memenjarakan Anwar selama 5 tahun atas sebab melakukan liwat secara suka sama suka dengan Saiful Bukhari.
Jika Anwar dibebaskan tempoh hari - selari dengan keputusan Mahkamah Tinggi pada Januari 2012, semua ini tidak akan berlaku dan 239 orang penumpang dan anak-anak kapal (termasuk Kapten Zaharie sendiri), masih selamat sehingga sekarang.
Sesiapa pun akan kecewa jika pemimpin mereka dipenjarakan atas sebab yang berlaku atas kerelaan bersama (consensual) antara 2 orang dewasa. Hujah sama digunakan oleh Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong ketika mengulas isu ini tidak berapa lama dahulu.
Tapi Anwar tetap didapati bersalah dan dihukum penjara kerana UMNO/BN tidak mahu melihat beliau aktif dalam politik menjelang PRU14 pada tahun 2018 nanti.
Kalau aku jadi Kapten Zaharie itu, aku pun akan rasa kecewa cuma mungkin tidak sampai ke tahap nak mensabotaj kapal terbang sebab tidak terlatih dalam bidang itu. Kecewa tetap kecewa, cuma cara meluahkan kekecewaan tersebut bergantung kepada hati masing-masing.
Apa sekalipun, Pakatan Rakyat tidak seharusnya dilibatkan, itu yang penting sekali.