Monday, March 31, 2014

Pelabur tak akan lari, kata MB S’gor

Khalid-Ibrahim-SELANGOR
SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan bahawa pelabur akan lari dari Selangor sekiranya penstrukturan industri air dijalankan dengan menggunaka Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006.

Dalam satu sidang media di Perpustakaan Raja Tun Uda hari ini, Menteri Besar Selangor itu berkata perkara itu sudahpun dilaksanakan di beberapa negeri sejak akta itu diperkenalkan.
“Yang paling penting sekali, WSIA telah diluluskan oleh Parlimen pada tahun 2006 dan telah digunakan untuk penstrukturan industri air di Johor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Melaka dan kita gunakan undang-undang yang sama untuk Selangor,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian sebagai mengulas dakwaan Pengurus Urusan Gamuda Bhd Datuk Lin Yun Ling yang berkata penggunaan akta WSIA untuk penstrukturan industri air di Selangor akan menyebabkan pelabur lari.
“Saya fikir sekiranya logiknya ialah mahukan wang yang lebih, itu bukan alasannya.
“Pelabur lebih arif. Kamu cuba untuk memaksimakan pendapatan sebanyak mungkin tetapi bila kita melaksanakan sesuatu undang-undang kita mesti memastikan yang undang-undang ini memanfaatkan rakyat Selangor dan Malaysia,” katanya lagi.
Tambah Abdul Khalid, jumlah wang yang ditawarkan kepada pemegang konsensi air ialah harga yang berpatutan dan menambah rakyat Selangor juga tidak percaya dengan dakwaan tersebut.
“Saya fikir itu tidak betul dan pasaran saham juga tidak jatuh sejak akta ini digunakan sejak tahun 2006,” katanya lagi.
Abdul Khalid turut berkata dia akan bertemu dengan Menteri Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan wakil dari Jabatan Peguam Negara.
“Ini berkaitan dengan penstrukturan semula industri air Selangor melalui Seksyen 114 WSIA,” katanya lagi sambil menambah kabinet telahpun mempersetujui perkara ini sejak Ogos tahun lalu.