LABUAN: Perpaduan nasional hanya akan dicapai jika rakyat negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik dilayan secara adil dan saksama di bidang sosial, ekonomi dan politik, kata Yang Dipertua PAS Labuan, Hamir Zahari.
Berucap pada majlis Dialog Perpaduan anjuran Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) di Anjung Budaya Taman Damai, Layang Layangan, dekat sini, 15 Mac lalu, Hamir berkata sebagai sebuah negara berbilang bangsa, layanan adil kepada seluruh rakyat adalah penting dan sentimen perkauman perlulah dijauhi.
Sambil memetik ayat 13 Surah Al-Hujarat tentang manusia yang diciptakan Allah SWT daripada pelbagai bangsa, beliau berkata keadilan sosial perlu ditegakkan bagi menjamin keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Janganlah kerana kerakusan untuk meraih keuntungan atau mileage politik yang bersifat sementara, akan memusnahkan (keharmonian kaum). Maka di kala kerosakan sudah berlaku, semua pihak akan menderita dan sebarang langkah pembaikkan sudah tidak berguna lagi,” tegas beliau.
Hamir (gambar) turut menyentuh peranan media yang perlu melapor dengan adil dan mengelak daripada memainkan isu berbau perkauman seperti yang berlaku sebaik pilihan raya umum (PRU) ke-13 berakhir.
Beliau turut mempersoalkan tindakan penganjur yang tidak menjemput wakil PKR pada pertemuan itu.
“Kenapa PKR Labuan tidak ada dalam senarai jemputan? Kalau kita nak bercakap soal perpaduan maka kita kena libatkan semua pihak untuk mendapatkan feedback daripada seluruh rakyat,” saran beliau pada program yang dimudahcarakan oleh Ahli MKPN, Tan Sri Lee Lam Tye.
Hamir turut membangkitkan keperluan bagi setiap pertubuhan berdaftar untuk menggunakan kemudahan awam seperti dewan orang ramai bagi melaksanakan aktiviti berpersatuan.
Dari sudut ekonomi, beliau membangkitkan jurang pembangunan antara Malaysia Timur dan Semenanjung.
Menurut beliau, walaupun Labuan sebagai contoh menyumbang lebih RM1.43 bilion kepada pendapatan negara namun penbangunan prasarana di pulau ini tidak sejajar dengan hasilnya.
“Kami pasti perolehan Labuan hasil daripada industri minyak dan gas dan institusi kewangan luar pesisir semakin meningkat pada tahun kewangan 2013. Rakyat ingin tahu bagaimana hasil pendapatan ini digunakan untuk pembangunan Labuan khususnya?” soal beliau.
Hamir turut membangkit cadangan pembinaan jambatan Labuan–Menumbok yang menghubungkan pulau itu dengan tanah besar Sabah.
“Apa perkembangan cadangan pembinaan jambatan ini? Bagi kami, projek jambatan ini berupaya memupuk perpaduan jika dilaksanakan,” jelas beliau.
Hamir juga berharap agar perbezaan ideologi politik tidak menjadi batu penghalang kepada perpaduan penduduk Labuan malah mahukan pulau ini menjadi perintis perpaduan nasional yang diharapkan.