Keputusan kerajaan Sarawak melarang beberapa orang pimpinan
Pakatan Rakyat untuk memasuki negeri tersebut bagi membantu kempen dalam PRK
Balingian, adalah satu tindakan paling tidak bermaruah yang dilakukan Ketua
Menteri Sarawak yang baru, Adenan Satim.
Ingatkan bila Taib Mahmud sudah mengundurkan diri, perkara
pengecut seumpama ini tidak akan berulang, rupa-rupanya ia masih diamalkan,
malah lebih teruk lagi kerana dalam kes beberapa hari lepas, ada di antara pimpinan
ini yang dibenarkan masuk, beberapa hari kemudian, tidak dibenarkan pula.
Undang-undang Imigresen yang memberi kuasa kepada kerajaan
negeri untuk membenar atau melarang sesiapa dari memasuki Sarawak (dan Sabah),
adalah satu daripada 20 perkara dalam perjanjian kemasukan Sabah dan Sarawak ke
dalam Malaysia lebih 50 tahun dulu.
Ia dikenali sebagai perjanjian 20.
Justeru, Pakatan Rakyat telah membuat keputusan untuk
menghapuskan perjanjian 20 ini bila kita mengambil alih kerajaan Sarawak dalam
pilihanraya negeri yang akan diadakan pada 2016.
Pakatan Rakyat yakin rakyat Sarawak akan bersetuju dengan
cadangan untuk memansuhkan terus perjanjian 20 ini kerana selain sudah ketinggalan
zaman, ia juga tidak mencerminkan Sarawak sebagai sebahagian dari persekutuan
Malaysia.
Walaupun Pakatan Rakyat faham Sarawak adalah sebuah wilayah
autonami (ia bukan sebahagian dari Semenanjung yang dimonopoli kerajaan yang
berasal dari kesultanan Melayu), tapi bagaimana autonomi sekalipun, rakyat
Malaysia tidak seharusnya disekat dari memasuki wilayah mereka sendiri!!
Jika nak diteruskan juga undang-undang tidak masuk akal itu,
maka Semenanjung juga perlu mempunyai hak yang sama – untuk membenarkan atau
tidak rakyat dari Sabah dan Sarawak memasuki mana-mana negeri.
Barulah adil. Tapi kalau
itu berlaku, apakah yang akan jadi pada Malaysia ini, sudah tentu haru
biru. Dalam masa yang sama kita bercakap
tentang Malaysia sebagai sebuah persekutuan, ada rakyat yang tidak mempunyai
hak memasuki mana-mana wilayah secara bebas – seperti mana sepatutnya dalam
sebuah negara.