Saturday, March 29, 2014

Rodziah umum bertanding

  • Rodziah Ismail Rodziah Ismail
 1 / 1 
SHAH ALAM - Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail mengumumkan akan merebut jawatan Ketua Wanita dalam pemilihan PKR 2014 Mei depan.

Menurut Rodziah, beliau menawarkan diri atas dasar bahawa Wanita PKR akan dipimpin melaksanakan agenda reformasi dengan santun, gerak kerja, perancangan dan pelaksanaan yang sedia diperoleh modelnya daripada pengalaman yang dimilikinya sepanjang dalam barisan pimpinan PKR dan pentadbiran PR Selangor.

"Keyakinan daripada anggota kepimpinan Wanita dan akar umbi juga menggesa agar adanya suatu perubahan dalam sayap wanita yang membolehkan kepimpinan baharu menerajui sayap Wanita PKR.

“Pembaharuan itu diyakini bakal memberikan kesegaran dalam pengolahan agenda masa depan Wanita PKR," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Rodziah yang juga Adun Batu Tiga berkata, gesaan perubahan ini tidak boleh diketepikan dan beliau tampil menyahutnya dengan semangat supaya segera merealisasikan kepimpinan yang diinginkan Wanita PKR.

Tambahnya, gesaan dari akar umbi itu adalah amanah baginya dan mohon agar sering diperingatkan kepadanya secara jujur dan telus.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin memberitahu, beliau turut mengambil keputusan mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak dua penggal lalu pada pemilihan parti Mei depan.

Menurutnya, beliau bersikap terbuka dan mengalu-alukan sesiapa sahaja yang bertanding merebut jawatan Ketua Wanita PKR.

“Sesiapa berminat boleh bertanding dan ini akan memeriahkan lagi proses pemilihan yang akan dijalankan dan saya langsung tidak berasa tergugat.

“PKR adalah parti demokrasi, tak salah rasanya untuk sesiapa bertanding,” katanya.

Katanya lagi, matlamat wanita PKR adalah memperkasakan parti, wanita dan melawan kezaliman kerajaan. Jadi tidak akan ada perpecahan kerana wanita berpegang kepada matlamat tersebut.

Tambahnya, ahli-ahli mengenalinya dan tahu bagaimana beliau bekerja serta berharap pemilihan kali ini menampilkan politik lebih matang serta lebih berketerampilan.