Monday, April 7, 2014

Dakwaan Anwar tarik diri tidak berasas

  • Fuziah SallehFuziah Salleh
 1 / 1 
SHAH ALAM – Sebaik Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencalonkan diri bertanding jawatan presiden parti itu dan bakal menentang isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, terdapat pihak menjangkakan beliau bakal menarik diri pada saat akhir.

Bagaimanapun, Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh menyifatkan dakwaan itu hanya cakap kosong yang tidak berasas.

Menurut Fuziah, berdasarkan syarat dan peraturan pemilihan PKR, calon yang disahkan layak bertanding boleh menarik diri sebelum senarai pencalonan dimuktamadkan pada 10 April ini.


“Itu hanya cakap kosong saja sebab tempoh untuk tarik diri masih belum habis sehingga 10 April. Jadi, tunggu dan lihatlah.

“Pada saya, tak kisah jika salah seorang daripada mereka menjadi presiden pun, OK,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Mengikut Seksyen 9A (1) (b) Akta Pertubuhan 1966, seseorang tidak boleh menjadi atau kekal memegang jawatan dalam pertubuhan yang berdaftar jika telah disabitkan atas apa-apa kesalahan dan didenda tidak kurang daripada RM2,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun.

Pada Mac lalu, Anwar disabitkan bersalah oleh Mahkamah Rayuan Putrajaya terhadap tuduhan meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai pertembungan enam penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti bulan depan, Fuziah melihat ia satu perkembangan sihat dalam meraikan demokrasi dalam parti itu.

“Saya lihat itu satu perkembangan sihat dalam konteks untuk meraikan demokrasi.

“... parti kami sentiasa memperjuangkan pembaharuan yang tidak terikat dengan politik lama, lapuk atau cara lama yang dilakukan oleh parti lain,” katanya.

Jelasnya, menawarkan diri untuk bertanding itu bukan tanda perpecahan atau melahirkan rasa tidak puas hati terhadap pimpinan sedia.

“Pada saya tidak ada masalah kerana menawarkan diri untuk bertanding itu hak masing-masing. Kalau masing-masing ada sesuatu yang mereka boleh tawarkan untuk bertanding, silakanlah.

“Akhirnya, ahli parti juga yang akan menentukan. Kita ada 500,000 ahli. Dengan sistem kita iaitu seorang ahli satu undi, setiap ahli mempunyai nilai undi yang sama untuk memilih pemimpin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yakin akar umbi PKR sudah tahu pemimpin bagaimana yang bakal dipilih untuk menerajui parti itu.

“Saya yakin ahli tahu mereka nak cari pemimpin yang macam mana. Mereka tahu nak cari pemimpin yang boleh berkhidmat kepada parti, tawarkan sesuatu untuk parti.

Bukan setakat pandai cakap sahaja tapi beleh memantapkan parti, bawa agenda pembaharuan...agenda reformasi. Saya yakin itu yg dilihat oleh ahli akar umbi.

“Jadi, pertandingan itu sihat asalkan kita letak garis panduan jangan mencerca pihak lawan. Apa yang penting adalah menawarkan sesuatu yang positif untuk parti dan akhirnya partilah yang akan untung dengan pembaharuan ini,” katanya