Wednesday, April 23, 2014

DAP mahu Pas rujuk semula Buku Jingga

  • Nga Kor MingNga Kor Ming
 1 / 1 
IPOH - Pas disaran kembali memberi fokus penubuhan Negara Berkebajikan sebagaimana yang dipersetujui bersama dengan parti komponen PR sebelum ini.

Timbalan Setiausaha Publisiti DAP, Nga Kor Ming berkata, penubuhan Negara Berkebajikan itu juga turut terkandung sebagai polisi dalam Buku Jingga PR, malah ia sudah diluluskan sempena muktamar Pas yang lalu.

“DAP memang tidak setuju dengan hasrat Pas menubuhkan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud. Kita juga tidak mahu penubuhan negara Kristian, Buddha atau Hindu.


“Apa yang penting adalah semua pihak perlu hidup aman damai dengan saling hormat menghormati selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Malah, pada 1998 Mahkamah Persekutuan juga telah memutuskan bahawa Malaysia bukan negara Islam, tetapi negara sekular yang berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan. Malaysia juga adalah sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen dan raja
berperlembagaan,” katanya pada sidang media, semalam.

Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak berkata, parti itu tetap menghormati pendirian Pas khususnya dalam memperjuangkan syiar Islam di negara ini.

Namun katanya, Pas perlu memberi fokus kepada penubuhan Negara Berkebajikan seperti yang telah dipersetujui bersama sebelum ini.

“Pas perlu kembali kepada konsep penubuhan Negara Berkebajikan ini kerana secara tidak langsung ianya akan menambah sokongan daripada masyarakat berbilang kaum di negara ini selaras dengan slogan ‘Pas Untuk Semua.’

“Lagipun, ianya selaras dengan Islam itu yang jelas sebagai agama yang adil dan mementingkan kesejahteraan sejagat,” katanya.

Ahli Parlimen Taiping itu juga bersetuju dengan kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak akan menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan.

Katanya, pelaksanaan hukum Islam itu di Kelantan memerlukan suara majoriti di Parlimen untuk pelaksanaannya.

“Apa pun, kita akan tetap teruskan kerjasama kita dengan Pas dan PKR atas platform PR, dan kita harap Pas tidak akan terpengaruh dengan perangkap Umno yang sengaja menimbulkan isu hukum hudud ini,” katanya.